My Add

Monday 28 January 2013

Sokongan padu rakyat perlu bagi teruskan projek berimpak tinggi: TPM

KUCHING, ISNIN, 28 Januari, 2013: Sokongan padu rakyat adalah amat perlu bagi membolehkan kerajaan sekarang meneruskan usaha melaksanakan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat besar kepada mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, projek berimpak tinggi ini telah dijalankan sejak tiga tahun lepas melalui pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi yang mengutamakan peningkatan pendapatan rakyat.

Biarpun Malaysia secara keseluruhannya telah berjaya mencapai pembangunan lebih tinggi, apa yang lebih penting adalah impak positifnya kepada rakyat, katanya semasa berucap merasmikan kompleks Medan Niaga Satok yang bernilai RM46.6 juta di sini hari ini.

"Tidak ada maknanya sebuah negeri atau negara itu maju tetapi rakyatnya miskin. Kerajaan mempunyai wang yang banyak tetapi rakyat tidak mempunyai apa-apa," katanya.

Muhyiddin berkata, projek Medan Niaga Satok ini juga adalah salah satu projek yang berjaya menjana impak yang positif dalam membantu rakyat, khususnya golongan petani untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Melalui kerjasama erat kerajaan negeri Sarawak dan Persekutuan, Muhyiddin berkata projek Medan Niaga Satok berjaya disiapkan dengan menyediakan ruang untuk lebih 2,000 peniaga kecil menjalankan perniagaan mereka.

Selain itu, perancangan untuk menggabungkan industri berasaskan pertanian dengan industri pelancongan di medan niaga ini akan turut memberikan nilai tambah kepada usaha ini, katanya. 

"Sebuah projek sebegini tentulah mempunyai kesan berganda, dalam bentuk jumlah bisnes dan perniagaan yang boleh dijana," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM13.5 juta lagi bagi menambah lagi kemudahan-kemudahan untuk keselesaan peniaga dan pengunjung di medan niaga ini.

Muhyiddin berkata, kejayaan melaksanakan projek ini menjadi satu lagi bukti keupayaan kerajaan Barisan Nasional untuk menunaikan janjinya untuk membantu rakyat meningkatkan taraf hidup. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment