My Add

Tuesday 15 January 2013

Negara tidak perlu Mahkamah Perlembagaan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 14 Januari, 2013: Malaysia tidak perlu menubuhkan Mahkamah Perlembagaan secara berasingan kerana negara tidak memerlukannya.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad (gambar) berkata, penubuhan mahkamah itu bukan sahaja akan menyebabkan pembaziran tetapi bakal mewujudkan lebih banyak masalah.

Menurutnya, apabila mendengar negara lain mempunyai Mahkamah Perlembagaan, ada pihak juga mahu diwujudkan di Malaysia sedangkan mereka tidak sedar itu adalah Sistem Kontinental dan tidak diperlukan dalam sistem perundangan biasa.

"Mahkamah Perlembagaan yang terdapat di beberapa negara berfungsi mendengar kes membabitkan interpretasi Perlembagaan, petisyen pilihan raya dan kes-kes kajian kehakiman.

''Di Malaysia, kes-kes seumpama itu sentiasa didengari di mahkamah-mahkamah kita, jadi apa perlunya wujudnya Mahkamah Perlembagaan?,'' ujarny

Beliau berkata demikian ketika pembentangan kertas kerja bertajuk 55 Tahun Kemerdekaan: Melihat Semula Perlembagaan Persekutuan-Perubahan Undang-Undang dan Kesannya dalam Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Dengan Keselamatan dan Hak Asasi, di sini hari ini.

Persidangan tiga hari anjuran Jabatan Peguam Negara Malaysia, Razak School of Government dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia adalah susulan daripada penerbitan buku Transformasi Politik karya terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pembentangan itu, Abdul Hamid yang menyentuh tentang kesaksamaan berkata, rakyat Malaysia tidak seharusnya membandingkan Perlembagaan Malaysia dengan Amerika Syarikat.

Sebagai contoh katanya, Malaysia mempunyai peruntukan seperti Artikel 153, namun perkara itu dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi.

"Saya percaya untuk memahami Perlembagaan, seseorang perlu mengetahui sejarah dan keadaan-keadaan itulah yang sebenarnya wujudnya Perlembagaan.

"Kita menghormati nilai kemanusiaan sejagat, hak dan obligasi kemanusiaan. Kita juga menghormati pandangan hakim daripada perundangan lain.

"Tetapi kita tidak sepatutnya melupakan sejarah sendiri dan mengikut secara membuta tuli perundangan hakim-hakim lain.

"Kita hanya mengambil prinsipal tetapi dalam melaksanakannya, perlu melihat kepada kesesuaian penduduk Malaysia, polisi dan faktor-faktor relevan," jelas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment