My Add

Tuesday 15 January 2013

Dr. Mahathir sampai ucaptama Konvensyen Perkasa P. Pinang Sabtu ini.

PULAU PINANG, ISNIN, 14 Januari, 2013: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucaptama sekali gus merasmikan Konvensyen Transformasi Ekonomi dan Pelajaran Melayu Pulau Pinang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh Sabtu ini.

Konvensyen anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang itu dijangka dihadiri lebih 5,000 orang Melayu Pulau Pinang.

Yang Dipertua Perkasa Pulau Pinang, Yusof Suhaimi Mohd. Yatim berkata, kehadiran Dr. Mahathir itu dilihat mampu memberikan impak besar kepada masyarakat Melayu di negeri ini yang berhadapan dengan pelbagai kekangan.

Berikutan itu ujarnya, melalui konvensyen berkenaan, beberapa kertas kerja akan dibincangkan dan satu sesi soal jawab turut diadakan bagi membuka mata serta minda masyarakat Melayu agar lebih berdaya saing pada masa hadapan.

"Tiga kertas kerja iaitu berkaitan dengan mendapatkan pendapatan tinggi, pelajaran dan kelangsungan pemerintahan negara bangsa akan disampaikan.

"Hasil daripada pembentangan itu kita akan menyediakan satu jadual atau garis panduan yang boleh digunakan demi kelangsungan orang Melayu menjelang 2020," katanya pada sidang akhbar di pejabat Perkasa negeri di sini hari ini.

Yusof Suhaimi berkata, pihaknya berharap agar peluang pendidikan dan ekonomi yang lebih adil dapat direalisasikan pada masa hadapan bagi membuka peluang kepada orang Melayu untuk bersama mendapatkan pelajaran dan peluang ekonomi lebih seimbang dengan kaum-kaum lain.

"Kita mahu matlamat melahirkan seorang profesional bagi setiap rumah orang Melayu di negeri ini dapat dicapai dalam usaha melahirkan lebih ramai profesional dalam kalangan orang Melayu," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment