My Add

Saturday 12 January 2013

NGO perlu proaktif - Najib

Oleh ABDUL YAZID ALIAS

 *NAJIB Tun Razak bersama ahli-ahli keluarga Lim pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Persekutuan Pertubuhan Keluarga Lim Malaysia di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor, malam tadi. - BERNAMA

SHAH ALAM, JUMAAT, 11 Januari, 2013: Perdana Menteri mahu semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuklah pertubuhan yang mewakili kaum Cina menyesuaikan diri dengan perubahan semasa dengan memainkan peranan lebih proaktif yang membawa manfaat kepada pembangunan negara pada masa depan.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau mengiktiraf peranan penting yang dimainkan NGO dalam pembentukan negara ini yang mana tidak terhad kepada peranan tradisi mereka semata-mata.

Merujuk kepada Persekutuan Pertubuhan Keluarga Lim Malaysia (PPKLM), beliau berkata, NGO tersebut boleh dijadikan contoh dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat ini apabila membantu menguruskan dana berjumlah RM30 juta daripada kerajaan untuk program mikro kredit kepada golongan wanita menerusi penubuhan Yayasan Usahawan Wanita Cina Malaysia.

"Saya gembira perkongsian unik tersebut telah berjaya melepasi jangkaan dan telah membantu ribuan orang untuk memula dan membesarkan perniagaan mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada malis sempena Ulang Tahun Ke-30 Persekutuan Pertubuhan Keluarga Lim Malaysia (PPKLM) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini malam tadi.

Yang hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Penasihat Eksekutif PPKLM, Tan Sri Lim Soon Peng dan Presiden PPKLM, Robert Lim.

Selain itu, yang turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Sing Chai dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Tambah Najib, beliau turut percaya perkongsian seumpama itu dapat diperluaskan lagi dalam pelbagai bidang lain pada masa akan datang dengan melibatkan NGO dan kerajaan.

"Kombinasi ini antara kerajaan dengan NGO dilihat mampu dijadikan satu gandingan mantap yang bukan hanya untuk membantu rakyat dan membentuk masa depan negara," jelasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan perkongsian seumpama itu adalah lebih baik dalam mencapai matlamat kemajuan negara yang dapat bermanfaat kepada seluruh rakyat berbanding melakukan demonstrasi dan konfrontasi yang dilihat banyak memberikan kesan yang negatif.

Tambahnya, contoh sedemikian jelas boleh dilihat di negara-negara yang mengambil penyelesaian secara radikal, yang memilih turun ke jalanan untuk menukar kerajaan.

"Cara sedemikian bukan hanya menyebabkan perniagaan terjejas, pertumbuhan negara terbantut, pembangunan negara mundur manakala kemakmuran dan rakyat akan menderita.

"Kita mempunyai masa depan yang penuh keyakinan dan harapan. Jangan perjudikan dan membuang begitu sahaja kemakmuran negara kerana mengambil masa bertahun untuk dibina," tegas Perdana Menteri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment