My Add

Tuesday 15 January 2013

Palsu dokumen: Soeraya bekas Pengarah Veterinar dibebas

Oleh NAZARUDIN SHAHARI

SEREMBAN, SELASA, 15 Januari, 2013: Bekas Pengarah Veterinar negeri, Datuk Dr. Noor Soeraya Norsham dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat tuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan kenaikan gred jawatan antara 2009 hingga 2011.

Hakim Datin Nursinah Adzmi membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mengikut pertuduhan, Noor Soeraya, 39, didakwa menyerahkan dokumen palsu bagi tujuan penyelarasan gaji dan elaun untuk pegawai Gred G48, G52 dan G54 itu kepada Pegawai Pembantu Tadbir di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Siti Norhayati Md. Yusof antara 16 Mac 2009 dan 24 Julai 2011 melibatkan wang sebanyak RM50,314.69.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika memangku jawatan Gred G44 di pejabat Jabatan Veterinar Negeri Sembilan, Jalan Pantai dan di Bahagian Pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Lot 1504, Mukim Pantai, Batu 6, Jalan Jelebu di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan.

Nursinah dalam penghakimannya berkata, walaupun jelas surat dikeluarkan itu palsu namun pihak pendakwaan gagal membuktikan dokumen berkenaan dipalsukan oleh tertuduh. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment