My Add

Thursday 24 January 2013

Parti komponen BN perlu kukuhkan kerjasama hadapi PRU-13

JAKARTA, RABU, 23 Januari, 2013: Kerjasama kukuh yang terjalin antara parti komponen Barisan Nasional (BN) selama ini boleh menjamin kejayaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi secara peribadi berpendapat, parti komponen BN kini bekerja keras memastikan rakyat terus memperoleh manfaat pada pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu, Abdullah berkata, adalah penting bagi rakyat Malaysia memberi sokongan dan memilih BN.

Menurutnya, rekod cemerlang BN selama 50 tahun dalam membangunkan negara merupakan sesuatu yang unik dan wajar dipertahankan berbanding parti lawan yang tidak memiliki pencapaian itu.

"Jadi, adalah penting untuk BN meneruskan kesinambungan kerja-kerja pembangunan dan kemajuan negara.

"Seandainya, rakyat memilih parti lain untuk memerintah tentu sekali usaha-usaha kesinambungan pembangunan itu tidak dapat dilaksanakan," tegas Abdullah ketika ditemui di sini hari ini.

Pada masa sama, Abdullah menasihatkan, kesemua bakal calon dan mereka yang tidak terpilih sebagai calon PRU-13, meletakkan kemenangan BN sebagai keutamaan.

"Yang tidak dicalonkan pula perlu beri sokongan kerana jika tiada sokongan, maka tiada kemenangan (buat BN)," katanya.

Mengulas mengenai kecenderungan mereka yang gagal dipilih sebagai calon mensabotaj parti, Abdullah mengajak golongan itu supaya saling mengingati antara satu sama lain mengenai kepentingan BN sebagai kuasa politik di Malaysia.

Abdullah berada di sini bersama rombongan Majlis Keamanan dan Kedamaian Asia (APRC).

APRC yang dianggotai 22 negara merupakan badan kedamaian Asia pertama ditubuhkan dan berperanan sebagai orang tengah dalam menyelesaikan masalah atau konflik yang berlaku di mana-mana negara di dunia ini.

Dalam lawatan itu, Abdullah dan rombongan APRC turut memberi taklimat kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono serta Duta-duta Asing dan Perwakilan-Perwakilan Tetap Asean di Jakarta mengenai misi penubuhan badan yang beribu pejabat di Bangkok, Thailand itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment