My Add

Sunday 6 January 2013

Pembayaran bantuan menjelang Mac ini: Ahmad Husni

IPOH, AHAD, 06 Januari, 2013: Kerajaan menetapkan sasaran membuat pembayaran beberapa bantuan dalam bentuk wang tunai dan baucar yang diumumkan dalam Bajet 2013 menjelang Mac ini.

Bantuan itu termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M 2.0), Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100, Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM250 kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) sebanyak RM1,000.

Malah, kerajaan sedang meneliti permohonan beberapa IPT supaya pembayaran baucar buku dipercepatkan.

Justeru itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pembayaran bantuan berkenaan bersama wakil beberapa kementerian lain Selasa ini bagi tujuan berkenaan.

Katanya, Kementerian Kewangan sebagai penyelaras bagi proses pembayaran itu.

"Mesyuarat itu bagi kita tetapkan tarikh untuk setiap pembayaran berkenaan dibuat.

"Sebenarnya, kita sudah adakan mesyuarat pada Disember lalu tetapi kita nak kemaskinikan (proses pembayaran) membabitkan semua wakil-wakil kementerian yang berkenaan supaya bayaran bagi Januari, Februari dan Mac berjalan lancar.
"Bagi BR1M, kita akan cuba membuat pembayaran Februari tetapi mungkin ada yang terlewat kerana kita masih menerima permohonan baru," katanya.

Beliau ditemui pemberita di majlis minum pagi bersama Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tersusun Sungai Tapah dan Seberang di sebuah gerai di Kampung Tersusun Sungai Tapah, di sini. - BH

No comments:

Post a Comment