My Add

Tuesday 8 January 2013

Penduduk bersyukur Sonamu tidak melanda

KUALA TERENGGANU, SELASA, 08 Januari, 2013: - Penduduk merasa bersyukur kerana ribut tropika Sonamu beserta angin kencang yang diramal membadai perairan pantai timur Semenanjung termasuk Terengganu tidak menjadi kenyataan.

Tinjauan mendapati ramai penduduk yang tinggal di kawasan pantai seperti di sini, Dungun, Kuala Ibai dan Kuala Abang yang menetap sementara di rumah saudara mara yang tinggal jauh dari kawasan pantai, sudah mula pulang ke rumah masing-masing.

Namun nelayan kecil masih tidak berani ke laut ekoran angin kencang dan laut bergelora musim tengkujuh.

"Tok bersyukur tiada apa yang berlaku dan Tok yakin ini semua berkat usaha masjid, surau dan alim ulama yang tak henti-henti mengadakan sembahyang hajat sejak waktu Zohor kelmarin," kata Suri Dollah, 77, yang sudah pulang ke rumahnya di Kuala Abang yang terletak 20 meter dari pantai, setelah menumpang di rumah saudaranya.

Halimah Osman, 58, menganggap cuaca paling buruk yang pernah berlaku ialah pada 1984 yang turut menyebabkan sebuah kapal kargo tersadai di perairan Tanjung Jara akibat ribut dahsyat.

"Selepas itu tidak pernah lagi ada ribut sedemikian rupa. Cuaca buruk sejak kelmarin adalah sesuatu yang biasa bagi kami yang tinggal di tepi pantai sejak kecil," katanya.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment