My Add

Thursday 24 January 2013

Perak warta 5,018 hektar Hutan Simpan Piah sebagai hutan simpan kekal

IPOH, RABUM 23 Januari, 2013: Kerajaan negeri mewartakan sebahagian kawasan Hutan Simpan Piah seluas 5,018 hektar di Mukim Lenggong dekat sini sebagai hutan simpan kekal bagi tujuan pemuliharaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pewartaan juga dibuat berdasarkan kawasan itu tidak sesuai dibangunkan sebagai hutan pengeluaran.

"Ini adalah satu daripada usaha kerajaan negeri untuk memelihara alam sekitar dan memastikan hutan kita dapat dijaga dan dikawal dengan sebaiknya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan juga dibuat dengan memastikan industri pembalakan dan perkayuan tidak terjejas.

"Perancangan teliti perlu dibuat kerana apa yang kita lakukan perlu ada keseimbangan bagi memastikan industri perkayuan dan hutan tidak terjejas," katanya.

Selain itu, Zambry berkata, kerajaan negeri merancang untuk melaksanakan penanaman semula hutan di seluruh negeri Perak yang tidak lagi mempunyai pokok besar.

"Ada tempat tertentu yang kita lihat ia bukan dianggap sebagai hutan pengeluaran, malah dari segi bilangan jumlah pokok yang ada di kawasan itu juga tidak banyak, maka kami akan dapatkan pendekatan lain bagaimana untuk lakukan perhutanan semula," katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memantau kegiatan pembalakan haram dan ada beberapa kes yang dibawa ke mahkamah.

"Kami juga sedang pantau terdapat pihak yang menggunakan nama tertentu untuk melakukan kegiatan haram itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment