My Add

Wednesday 9 January 2013

Perhimpunan jadi iktibar

Oleh NAZARUDIN SHAHARI

SEREMBAN, SELASA, 08 Januari, 2013: Polis perlu mengambil kira pengalaman daripada perhimpunan jalanan yang mencetuskan rusuhan dan keganasan sebelum memberi kebenaran mengadakan Himpunan 12 Januari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, semua pihak perlu belajar daripada himpunan Bersih yang menyaksikan pesertanya merusuh dan merosakkan harta benda awam.

Menurutnya, kejadian itu menjejaskan ketenteraman awam, keamanan dan keharmonian yang dikecapi penduduk negara ini sejak sekian lama.

"Kita perlu pastikan apa yang kita bimbang tidak berulang dan belajar daripada apa yang berlaku semasa perhimpunan Bersih dulu yang menyebabkan keadaan huru-hara dan rusuhan jalanan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat tertutup mengenai persiapan pilihan raya Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, beliau difahamkan penganjur himpunan itu akan bertemu Ketua Polis Negara hari ini bagi membincangkan berkenaan perhimpunan tersebut yang difahamkan menyasarkan sebanyak sejuta peserta.

"Yang penting kita jangan benarkan apa yang berlaku semasa perhimpunan Bersih berulang dan itu pendirian saya.

"Saya telah maklumkan kepada pucuk pimpinan polis dan berharap pihak berkenaan seperti perbadanan stadium dan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) ambil iktibar daripada pengalaman kita dulu," ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan sasaran sejuta peserta yang jelas tidak realistik untuk kapasiti Stadium Merdeka.

"Saya percaya kalau sejuta orang, kawalan di Stadium Merdeka tidak mampu dilakukan, jadi mesti realistik dalam permintaan.

"Jika tidak akan menjadi tanda tanya apa yang mereka lakukan ini ikhlas atau tidak," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment