My Add

Friday 4 January 2013

PERKASA mahu mereka yang cemar kedaulatan agama Islam didakwa

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 04 Januari, 2013:: Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) hari ini mempersoalkan keupayaan, kesungguhan dan ketegasan Jabatan Agama Islam negeri yang sudah menguatkuasakan undang-undang Enakmen Bukan Islam 1988 untuk menyiasat dan mendakwa mereka yang melanggar undang-undang berkenaan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, berkata ia penting berikutan tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendesak kerajaan membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu, baru-baru ini.

"PERKASA kesal kerana sehingga ke hari ini tiada kesungguhan dan ketegasan dalam menangani isu yang bukan saja boleh mencemarkan nama baik dan kedaulatan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan malah membawa ketegangan di kalangan masyarakat majmuk di negara ini," katanya pada sidang media di Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini, sebentar tadi.

Justeru, Ibrahim menggesa Jabatan Agama Islam mengambil tindakan segera dan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-raja Melayu selaku ketua agama Islam supaya memantau dan memastikan perkara ini tidak berlarutan.

Berdasarkan Enakmen Agama Bukan Islam 1988, seseorang didapati melakukan kesalahan jika dia memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam; menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam; atau meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.

Jika didapati bersalah boleh disabitkan dan dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. - BH

No comments:

Post a Comment