My Add

Thursday 24 January 2013

PERKESO edar baucar saringan kesihatan percuma

 KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 Januari, 2013: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selesai menghantar baucar saringan kesihatan percuma kepada 1.9 juta pencarum yang layak, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PERKESO, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berkata, PERKESO memperuntukkan RM200 juta di bawah skim berkenaan yang baru sahaja dimulakan dan akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Februari ini.

Ujian saringan kesihatan percuma bagi pekerja sektor swasta itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat pada 28 September tahun lalu.

Di bawah skim itu, pencarum PERKESO berumur 40 tahun ke atas layak menjalani ujian saringan kesihatan percuma bagi mengesan penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, diabetes, kanser dan masalah jantung.

Mohammed Azman berkata, ujian saringan itu meliputi pemeriksaan fizikal, profil darah, ujian air kencing dan bagi wanita ujian 'pap smear' dan mamogram yang akan dilakukan oleh doktor panel.

Beliau menasihati mereka yang belum menerima baucar percuma itu menghubungi hotline PERKESO 03-42521258, 03-42524475/76 dan 03-42525089 atau pejabat Perkeso terdekat untuk mendapatkan maklumat.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengalu-alukan langkah Perkeso melaksanakan skim itu dalam tempoh empat bulan selepas ia diumumkan dan berharap Perkeso terus memantau pekerja yang selesai menjalani saringan bagi memastikan mereka sihat sehingga mencapai umur persaraan.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment