My Add

Tuesday 8 January 2013

Persatuan Kebajikan Program Roti 1Malaysia sedia platform kebajikan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 07 Januari, 2013: Persatuan Kebajikan Program Roti 1Malaysia yang dilancarkan hari ini menyediakan platform kepada syarikat korporat dan individu yang berhasrat menyumbangkan roti serta pastri berkualiti kepada golongan kurang bernasib baik.

Persatuan itu dilancarkan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Auditorium Menara Hap Seng, setelah menjalani tempoh percubaan menerusi program Roti 1Malaysia pada Ogos 2011.

Menurut Rosmah, beliau sangat berbesar hati kerana terdapat persatuan yang begitu komited menyediakan platform untuk kebajikan bagi membantu masyarakat kurang bernasib baik.

Jelasnya, persatuan itu berusaha keras memperoleh pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan daripada syarikat korporat tanpa memohon sebarang bantuan kewangan daripada kerajaan.

"Di sebalik program Roti 1Malaysia, terdapat beberapa hotel, bakeri, sukarelawan, penaja, pertubuhan belia dan beberapa syarikat yang turut bergabung tenaga menjayakan aktiviti kebajikan itu.

"Mereka berusaha mengumpulkan roti dan pastri berkualiti sebelum mengagihkan secara percuma kepada rumah kebajikan seperti anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Persatuan Kebajikan Program Roti 1Malaysia.

Tambahnya, dalam program percubaan, Roti 1Malaysia telah mengagihkan sebanyak 1.2 juta buku roti yang dianggarkan bernilai RM5.7 juta kepada 60 rumah kebajikan dari Ogos 2011 hingga Disember tahun lalu.

"Lebih membanggakan apabila usaha murni itu turut melibatkan pengagihan roti kepada penghuni penjara," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar program Roti 1Malaysia dapat diperluaskan kepada Program Permata Negara (PPN).

Rosmah berkata, sebagai sokongan ke arah pembangunan sosial dan kebajikan untuk rakyat Malaysia, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana di bawah Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma).

"Di bawah Kar1sma, pada 2010 sebanyak RM1.2 bilion diagihkan kepada 424,526 penerima bantuan dan sebanyak RM1.3 bilion kepada 473,928 penerima pada 2011.

"Pada tahun lalu pula, sejumlah RM1.4 bilion disumbangkan sebagai bantuan kepada 497,624 penerima di bawah Kar1sma," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment