My Add

Tuesday 8 January 2013

Isu tanah: Penduduk setinggan dianaktirikan

GUA MUSANG, ISNIN, 07 Januari, 2013: Rata-rata rakyat Kelantan yang tinggal sebagai setinggan berhampiran jalan raya Kuala Krai-Gua Musang, menganggap mereka dianaktirikan kerajaan negeri pimpinan Pas dalam pemberian hak milik tanah.

Ini kerana, menurut mereka, sejak tinggal di situ lebih 30 tahun lepas mereka belum dapat memiliki tanah kerana tidak dibenarkan membayar deposit atau premium untuk mendapat hak milik kekal.

Malah mereka menyifatkan kerajaan negeri bersikap "kera di hutan disusui, anak diriba mati kelaparan" apabila ada tanah dipajak kepada syarikat asing tanpa mengambil kira peluang untuk mereka.

Seorang setinggan yang menghuni kawasan tanah rizab berkenaan berhampiran Sungai Sam, Kuala Krai, Hussein Mat, 53, berkata, beliau meneroka tanah di kawasan pinggir jalan raya itu sejak lebih 30 tahun lepas tetapi belum mendapat hak milik.

"Kami tidak dibenarkan membayar deposit oleh kerajaan negeri sebelum membolehkan kami membayar premium sepenuhnya," katanya kepada Bernama ketika meninjau kawasan itu, semalam.

Seorang lagi penduduk di kawasan berhampiran, Mat bin Stapa, 56, meminta pihak berwajib menyiasat status tanah di kawasan itu bagi menjelaskan kepada rakyat apa yang disifatkan sebagai menyalahgunakan hak rakyat.

"Saya sedih jika kerajaan negeri menggadai tanah itu kepada orang asing dan cuba berselindung di sebalik projek Ladang Rakyat yang memberi pulangan kepada sebahagian rakyat yang setia menyokong Pas," kata pesara tentera itu.

Laporan akhbar sebelum ini memetik kerajaan Kelantan didesak menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menjalankan inkuiri terbuka berhubung isu pajakan tanah di negeri ini supaya rakyat dapat mengetahui kedudukan sebenar perkara itu.

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, rakyat Kelantan kini menuntut kerajaan negeri membuat pendedahan terbuka dan telus mengenai isu pajakan tanah yang menimbulkan pelbagai persoalan, termasuk kawasan lebih 4,000 hektar di Hulu Kelantan kepada syarikat yang ada kaitan dengan pemimpin DAP. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment