My Add

Sunday 20 January 2013

PM umum 7 projek besar di Kelantan termasuk lebuh raya, masjid

KOTA BHARU, AHAD, 20 Januari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan tujuh projek besar yang bakal dilaksanakan bagi memajukan Kelantan tidak lama lagi.

Projek tersebut merangkumi pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu, pembinaan stadium baharu, masjid terbesar dan perumahan rakyat dengan peringkat permulaan melibatkan 3,000 unit.

Projek lain adalah mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 pelajar dan projek menyelesaikan masalah air.

Najib berkata, tujuh projek ini akan juga dimasukkan dalam manifesto BN nanti.

"Ambo (saya) sebut tujuh perkara ini dan hanya sebahagian sahaja dari manifesto. Tidak lengkap lagi.

"Ambo hendak simpan. Nanti ambo datang lagi, ambo umum yang lain. Ambo simpan modal," katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Janji Ditepati di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen; dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Pengumuman tujuh projek terbabit disambut tepukan gemuruh kira-kira 50,000 orang yang hadir pada majlis tersebut.

Najib berkata, rakyat Kelantan dahagakan pembangunan termasuklah tujuh projek itu dan kerajaan BN akan menunaikan janji tersebut demi kemajuan mereka.

"Kita kena pastikan bumi Kelantan, potensi rakyat Kelantan, potensi ekonomi Kelantan menjadi sepenuhnya. Ini janji kerajaan BN.

"Pagi tadi ambo makan nasi dagang di Pasar Siti Khadijah, saya tanya (peniaga) apa berlaku perubahan di Kelantan. Mereka mahukan tranformasi seperti yang kita lakukan di peringkat nasional.

"Transformasi menyentuh jiwa rakyat dan dirasai rkayat. Kerajaan BN tidak melupakan untuk mendahulukan rakyat dalam tindakan kita," jelasnya.

Menurut Najib, transformasi tidak boleh dilakukan hanya dengan slogan atau mencorakkan cat hijau di dinding, bumbung dan pagar sahaja sebaliknya secara menyeluruh kepada rakyat seperti program pembangunan dan kemajuan yang dilaksanakan BN.

Beliau berkata, hanya dengan transformasi sahaja, masa depan rakyat Kelantan boleh diubah dan diperbaiki yang mana BN sentiasa meletakkan kemahuan tersebut sebagai sebahagian dasar perjuangan parti itu.

"Kita tidak janjikan bintang, cakerawala atau syurga. Kita janjikan transformasi menyeluruh untuk rakyat Malaysia.

"Inilah yang dilakukan kerajaan kita iaitu melakukan perubahan yang besar yang digelar transformasi.

"Dan transformasi ini, ambo lihat di bumi Kelantan juga akan kita lakukan," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyelesaikan isu royalti minyak Kelantan.

Najib berkata, jawatankuasa itu akan diwakili pakar undang-undang dan wakil negeri ini yang diperkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

"Jawantankuasa ini akan berbincang satu persatu secara mendalam mengikut undang-undang dan perlembagaan secara telus.

"Kita tidak selindung dalam membuat keputusan yang adil terhadap rakyat Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kita tidak tipu sesen pun duit rakyat. Jangan kelentong rakyat, jangan belawok (menipu), nanti rakyat sedar satu hari nanti," katanya.

Najib berkata, isu royalti minyak tidak perlu digembar-gemburkan atau menjadi mainan politik pihak tertentu untuk menimbulkan kemarahan rakyat negeri ini.

Sebaliknya, beliau berkata, isu ini mesti mempunyai asas dan asas inilah yang akan dibincangkan dalam jawatankuasa itu bagi menyelesaikan dan menjelaskan isu tersebut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment