My Add

Saturday 12 January 2013

Polis kenalpasti dua lelaki beri perlindungan kepada tahanan lolos

BUTTERWORTH, JUMAAT, 11 Januari, 2013: Polis sudah mengenalpasti dua lelaki yang dipercayai memberi perlindungan kepada lima tahanan yang masih bebas dan bersembunyi di sekitar Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, lelaki berusia 31 tahun dan 60-an itu tinggal di dua lokasi di Ara Kuda dan dipercayai turut memberi wang serta pakaian kepada penjenayah terbabit.

"Berdasarkan maklumat, lelaki berusia 31 tahun itu adalah rakan tahanan dan dia dipercayai memberi bantuan dan perlindungan kepada mereka (tahanan) sejak hari pertama mereka meloloskan diri.

"Manakala lelaki berusia 60-an itu adalah bekas banduan dan dia juga dikatakan memberi makanan, rokok serta duit kepada tahanan sejak semalam," katanya kepada pemberita ketika meninjau sekatan jalan raya untuk mengesan tahanan terbabit di Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE), di sini hari ini.

Beliau berkata, polis akan menahan kedua-dua lelaki terbabit untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada tahanan berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini semalam. 

Dua tahanan yang ditembak mati semalam ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia.

Mereka yang masih diburu ialah Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, Mohamad Farid Akhtar, 24, Hamzani Harun, 37, Mohamad Khairulnizam Abdul Rani, 26, dan Hisham Abdul Rahman, 39. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment