My Add

Wednesday 9 January 2013

 Polis Perak tahan dua lagi suspek kes culik wanita

IPOH, RABU, 09 Januari, 2013: Polis menahan dua lagi suspek kes penculikan wanita berumur 52 tahun yang berjaya diselamatkan selepas dua daripada empat penculik ditembak mati polis di Trong, Taiping Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, lelaki berumur 42 tahun dan teman wanitanya berusia 50 tahun ditahan di Genting Highlands kira-kira 4 petang semalam.

Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM3,800 daripada mereka, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Isnin lalu, wanita yang diculik sejak 26 Dis lepas dengan tuntutan wang tebusan RM30 juta berjaya diselamatkan sepasukan polis khas selepas dua daripada empat penculiknya ditembak mati di bekas premis jualan susu getah di Trong, pada 9.45 malam.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di Kamunting, Taiping pada kira-kira jam 4 pagi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri berkata jumlah kes jenayah bagi Januari hingga Disember tahun lepas mencatatkan penurunan kepada 8,535 kes berbanding 9,869 kes dalam tempoh yang sama pada 2010.

"Ini adalah antara pencapaian terbaik Polis Kontinjen Perak dalam pencegahan jenayah walaupun kebanyakan kes yang berlaku adalah kes yang berprofil tinggi seperti rompak, culik, bunuh dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mula menggerakkan Unit Peronda Bermotosikal (UPB) bagi membantu dalam mengurangkan masalah jenayah jalanan dan mempercepatkan proses menangkap penjenayah.

"UPB akan bergerak di kawasan perumahan bersama-sama beberapa unit lain iaitu Unit RELA, dan Peronda Sukarelawan bagi membantu dalam pencegahan jenayah seperti kes ragut, pecah rumah dan lain-lain kes yang berkaitan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment