My Add

Sunday 13 January 2013

Polis tahan seorang lagi tahanan, dua masih diburu

 *KETUA Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi menunjukkan dua banduan yang masih bebas selepas menahan tiga banduan awal pagi tadi. Dua lagi tahanan iaitu Hamzani Harun, 37, serta Hisham Abdul Rahman, 39, diperhebatkan dan polis percaya mereka masih berada di sekitar Permatang Pauh. - Foto Mohd Kamil Rahim

TASEK GELUGOR: Polis Pulau Pinang menahan seorang lagi tahanan iaitu Mohamad Khairulnizam Abdul Rani, 26, dalam sebuah kafe internet di Berapit, Bukit Mertajam di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat awam sebelum polis menyerbu kafe internet berkenaan pada jam 1.15 pagi.

"Dia berada dalam kafe itu bagi mengelak dikesan polis, tetapi usahanya gagal kerana kita telah mendapat maklumat tentang dia dan berjaya menahannya," katanya kepada pemberita di sini.

 Sebelum itu, tahanan itu yang dikenal pasti sebagai Mohamad Khairulnizam dipercayai menjadikan seorang remaja 19 tahun sebagai tebusan dalam kejadian jam 11 malam tadi di Bukit Mertajam dan membawanya ke kawasan hutan di belakang Sekolah Kebangsaan Indera Muda..

*MOHAMAD Khairulnizam Abdul Rani, 26, (tengah) tahanan yang melarikan diri diberkas bersama dua yang lain di Tasek Gelugor, malam tadi. - Foto Mohd Kamil Rahim

Abdul Rahim berkata, remaja itu ditinggalkan tahanan berkenaan di kawasan Berapit dalam keadaan selamat.  

"Khairul Anas ditemui selamat oleh orang awam sebelum penemuannya dimaklumkan kepada polis dan remaja itu dibawa ke Balai Polis Kubang Semang untuk merekodkan keterangan," katanya.

Katanya, usaha memburu dua lagi tahanan iaitu Hamzani Harun, 37, serta Hisham Abdul Rahman, 39, diperhebatkan dan polis percaya mereka masih berada di sekitar Permatang Pauh.

Semalam, polis menahan Mohamad Farid Akhtar, 24, ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Semang pada pukul 9 malam, manakala Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, menyerah diri di Pasar Awam Penanti, jam 10 malam.

Dalam kejadian jam 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada mereka diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis.

Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment