My Add

Wednesday 2 January 2013

Proses nilai hartanah kurang 3 hari

Zanariah Abd Mutalib  

PUTRAJAYA: Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) akan mempercepatkan proses penilaian hartanah kurang daripada tiga hari.

Ketua Pengarah Penilaian, Datuk Abd Hamid Abu Bakar, berkata proses penilaian yang efisien akan mempercepatkan proses pendaftaran hartanah, sekali gus mempercepatkan urusan kementerian atau jabatan yang terbabit.

“Sebelum pendaftaran tanah atau bangunan, JPPH akan menilainya terlebih dulu dan penilaian ini dijalankan bagi pihak Kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Berdasarkan piagam pelanggan kita, penilaian hartanah perlu dilaksanakan dalam tempoh lima hari, namun kira-kira 80 peratus penilaian pada masa ini mampu dilakukan dalam tempoh tiga hari dan 10 peratus dalam masa sehari.

“Jadi jika boleh, kita nak pendekkan lagi tempoh berkenaan,” katanya kepada BH.

Abd Hamid berkata, penilaian harga pasaran tanah akan mengambil kira beberapa faktor termasuk keadaan tanah, syarat nyata, peruntukan undang-undang dan sama ada tanah berkenaan untuk tujuan kediaman, industri atau perniagaan.

Selain itu, Abd Hamid yang mengambil alih jawatan itu pada November tahun lalu berkata, pihaknya juga sedang mengkaji peraturan lapuk dalam jabatan bagi memastikan ia tidak mengongkong kelicinan pentadbiran.

“Sebagai contoh, setiap urusan jabatan memerlukan laporan dan kadangkala laporan itu sebenarnya tidak diperlukan pun. Ini antara yang sedang kita kaji.

“Saya juga mahu setiap masalah yang dikenal pasti menerusi audit dalaman jabatan diperiksa semula selepas tempoh enam bulan, berbanding setiap tiga tahun pada masa ini bagi memastikan masalah yang sama tidak berulang,” katanya. - BH

No comments:

Post a Comment