My Add

Tuesday 8 January 2013

Proton yakin pelan pemulihan Lotus selesai dalam dua tahun

KUALA LUMPUR, SELASA, 08 Januari, 2013Proton Holdings Bhd yakin pelan pemulihan anak syarikat milik penuhnya Lotus Group Plc, boleh diselesaikan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, berkata keyakinan itu adalah berasaskan permintaan yang semakin meningkat ke atas kereta sport di dunia, selain pengurusan baharu menerusi DRB-HICOM Bhd.

Proton ialah anak syarikat DRB-HICOM.

"Ia memerlukan tempoh masa yang lama. Untuk mengubah sesuatu yang sudah sedia ada selama 16 tahun bukannya mudah, namun Insha-Allah, pasukan pengurusan sangat inovatif dan banyak membantu.

"Kami tahu ada persaingan dalam pasaran. Bagaimanapun, berdasarkan peningkatan kualiti dan standard Lotus, kami yakin ia dapat bersaing dalam pasaran," katanya kepada pemberita selepas pelancaran bilik pameran perdana Lotus serta model-model Exige S dan Elise S di Malaysia.

Bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang turut hadir berkata persekitaran pasaran tempatan untuk Lotus sudah berubah.
"Lotus mempunyai nama yang baik, malangnya sejak 16 tahun lalu, orang ramai tidak melibatkan diri dengan jenama ini. 

"Pada masa itu, tidak ada pasaran untuk Lotus di Malaysia, namun hari ini sudah ada minat besar yang ditunjukkan terhadap kereta Lotus dan kami yakin dapat menjual jumlah besar Lotus di Malaysia," katanya.

Dr Mahathir berkata sudah pasti ada permintaan untuk kereta Lotus di luar negara, namun Lotus memerlukan masa yang lebih lama bagi memastikan keretanya mempunyai kualiti terbaik untuk dipasarkan.

Sementara itu, Khamil berkata Lotus menerima 20 tempahan untuk kereta itu dalam pasaran tempatan dan sudah menyerahkan 12 kereta kepada pembeli sehingga hari ini.

"Kami menyasarkan jualan antara 100 dan 200 unit kereta Lotus setelah kemasukan Lotus ke Malaysia.

"Di peringkat global, kami menyasarkan jualan antara 3,000 dan 4,000 unit dalam tahun kewangan berakhir Mac 2015. Pasaran terbesar untuk Lotus ialah China, Jepun dan Amerika Syarikat," katanya.

Bilik pameran berharga RM7 juta itu, yang membabitkan kawasan seluas kira-kira 1,060 meter persegi, menempatkan kawasan jualan untuk kereta baharu dan pramilik Lotus, dan akan digunakan sebagai pusat serantau Lotus, terutama sebagai pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti).

Exige S dan Elise S sudah pun mendapat perhatian dunia, dengan Exige S baru-baru ini menerima anugerah sebagai Kereta Terbaik oleh majalah EVO.

Exige S ditawarkan dalam dua varian -- roadster (RM452,030 runcit) dan coupe (RM467,230 runcit -- manakala Elise S dijual dari RM332,300.

Harga tidak termasuk insurans, cukai jalan, yuran pendaftaran, yuran pemeriksaan, nombor pendaftaran dan bayaran-bayaran lain. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment