My Add

Wednesday 9 January 2013

Rafizi diheret ke mahkamah

Oleh ASSIM HASSAN

KUALA LUMPUR, SELASA, 08 Januari, 2013: Kementerian Pertahanan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli (gambar) ekoran dakwaan penyelewengan dana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi pembelian tanah oleh sebuah anak syarikat milik lembaga tersebut, Boustead Holdings Bhd.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, beliau dan kementerian sama sekali tidak terlibat dalam pembelian tanah tersebut dari syarikat yang dituduh Rafizi, milik seorang ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.

Tegas beliau, Boustead Holdings Berhad merupakan syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia Bhd. (Bursa Malaysia) tidak tertakluk kepada sebarang arahan daripada mana-mana menteri atau individu bagi sebarang menguruskan transaksi berkenaan.

"Urus niaga pembelian itu merupakan transaksi komersial sepenuhnya, tidak melibatkan Kementerian Pertahanan dan saya sebagai menteri.

"Tuduhan Rafizi melampau dan memburukkan imej saya. Oleh itu, kementerian akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau (Rafizi)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2013 (LIMA'13) di sini hari ini.

Baru-baru ini, Rafizi mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahmad Zahid menyalahgunakan kuasa apabila menggunakan wang pencen anggota tentera untuk menutup mulut Deepak daripada membuat kenyataan berhubung kes pembunuhan Altantuya.

Dakwa Rafizi, wang pencen itu digunakan dalam urus niaga melibatkan bayaran RM30 juta untuk membeli 80 peratus saham terbitan Astacanggih manakala RM130 juta bagi pembelian 200 ekar tanah daripada Awan Megah Sdn. Bhd.

Tambah Ahmad Zahid, beliau mengingatkan Rafizi agar menghentikan segala tohmahan dan penipuan yang dilemparkan ke atasnya, LTAT dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, Rafizi seharusnya menyemak fakta dan tidak menggunakan isu tersebut dalam usaha menarik perhatian umum serta cuba mengaburi mata rakyat keseluruhannya.

"Saya harap Rafizi tidak menggunakan kedudukan profesionalisme beliau untuk dicampur aduk dalam politik.

"Saya juga cabar kalau beliau (Rafizi) anak jantan, buat laporan polis terhadap saya supaya pihak polis boleh menjalankan siasatan dan kita akan berjumpa di mahkamah," ujarnya.

Jelas beliau, dakwaan Rafizi itu boleh mengundang suasana huru-hara dan merosakkan kepercayaan pencarum-pencarum LTAT terutamanya anggota dan pegawai ATM terhadap pengurusan lembaga tersebut.

Beliau menjelaskan, wang simpanan pencarum LTAT langsung tidak digunakan dalam urusniaga pembelian itu.

"Malah LTAT menjaga keuntungan dan akan memberikan dividen mungkin lebih baik daripada yang lalu dan ini akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Sementara itu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain memaklumkan beliau akan ke Afghanistan bagi meninjau pasukan perubatan ATM yang ditugaskan di sana.

Ditanya sama ada pihaknya akan terus menempatkan pasukan perubatan itu di negara bergolak tersebut, Zulkifeli berkata, itu bergantung pada situasi dan kewangan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment