My Add

Monday 28 January 2013

Rakyat Palestin hargai keprihatinan Najib

Oleh Hussaini Amran

GAZA, AHAD, 27 Januari, 2013: Rakyat Palestin sangat menghargai keprihatinan yang ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap penderitaan mereka yang terpaksa hidup di bawah penindasan rejim Zionis.

Timbalan Menteri Luar Hamas, Ghazi Hamad berkata, kesungguhan Najib membantu rakyat Palestin dapat dilihat semasa beliau mengunjungi Gaza minggu lalu.

“Kami amat menghargai komitmen Najib dan rakyat Malaysia secara amnya untuk membina sebuah sekolah baharu dan melaksanakan beberapa projek lain di Gaza.

“Rakyat Palestin juga sangat gembira dengan pendirian teguh saudara-saudara kami di Malaysia yang sentiasa mengutuk kezaliman rejim Zionis tersebut," katanya dalam majlis menyambut kunjungan delegasi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) di Rafah dekat sini semalam.

Delegasi diketuai Pengerusi Majlis Pemegang Amanah PCOM, Datuk Seri Shahidan Kassim yang tiba di Palestin pada pukul 3 petang bersama 17 anggota delegasi termasuk Ahli Majlis Pemegang Amanah PCOM, Datuk Abdul Latiff Mirasa; bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Pengerusi PCOM, Muslim Abu Umar, Pengarah Koordinasi dan Program PCOM, Jismi Johari.

Dalam kunjungan selama tiga hari itu, Shahidan dijadualkan bertemu pemimpin-pemimpin kanan Pihak Berkuasa Palestin di Gaza City sebelum meninggalkan bandar itu esok.

Ghazi turut berharap Malaysia akan memainkan peranan sebagai peneraju dalam usaha membela nasib sebahagian umat Islam yang terpaksa hidup dalam keadaan tertindas di seluruh dunia.

“Kami berazam akan membebaskan Masjid al-Aqsa dan sanggup berkorban apa sahaja demi merealisasikan hasrat mewujudkan negara Palestin yang merdeka," ujarnya.

Sementara itu, Shahidan berkata, fokus utama PCOM dalam kunjungan kali ini adalah untuk mengkaji program-program pembangunan ekonomi dan pendidikan yang boleh dilaksanakan di Gaza berikutan lawatan Najib baru-baru ini.

Beliau memberitahu, program-program jangka panjang yang bakal dicadangkan kepada kerajaan Malaysia lebih tertumpu kepada peningkatan kualiti kehidupan rakyat Palestin.

“Kita boleh menganjurkan program latihan kemahiran seperti membaiki kenderaan untuk golongan belia dan penghasilan kraf tangan bagi ibu-ibu tunggal di Palestin.

“Khidmat tenaga-tenaga pengajar di Malaysia yang berkepakaran dan berpengalaman boleh digunakan untuk melatih rakyat Palestin di sini," jelasnya.

Tambah Shahidan, PCOM juga bersedia memainkan peranan sebagai sebuah badan yang menguruskan penyaluran bantuan kemanusiaan daripada pelbagai pihak di Malaysia kepada rakyat Palestin.

Dalam pada itu, Abdul Latiff yang juga Pengerusi Yayasan Restu berkata, satu perjanjian persefahaman (MOU) akan dimeterai antara Pihak Berkuasa Palestin, PCOM dan Yayasan Restu berhubung pelaksanaan projek al-Quran Mushaf Palestin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment