My Add

Monday 28 January 2013

245 maut kelab malam terbakar di Brazil

*SEJUMLAH anggota bomba berkumpul di pintu masuk kelab Kiss yang terbakar di Santa Maria, Brazil semalam.

BRASILIA, AHAD, 27 Januari, 2013: Kebakaran yang berlaku di sebuah kelab malam di bandar Santa Maria, selatan Brazil awal pagi semalam mengorbankan kira-kira 245 orang dan mencederakan sekitar 200 orang, kata polis dan bomba.

Seorang pegawai polis tempatan, Cleberson Braida ketika memberitahu media tempatan berkata, 245 mayat dibawa untuk proses pengecaman ke sebuah gimnasium di bandar Santa Maria.

Jumlah kematian itu menjadikan ia salah satu insiden kebakaran kelab malam paling buruk dalam tempoh lebih satu dekad.

Menurut beberapa pegawai, punca kebakaran belum diketahui.

Kebanyakan yang maut kerana terhidu asap atau menjadi mangsa rempuhan pengunjung yang berasak-asak untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, menurut laporan tempatan, kebakaran berlaku akibat percikan bunga api.

Beberapa pegawai berkata, kebakaran tersebut berlaku semasa sebuah band membuat persembahan.

Pada awalnya, para pegawai menganggarkan jumlah kematian seramai 180 orang.

Jurucakap polis awam dan pentadbiran serantau, Marcelo Arigoni pada awalnya memberitahu Radio Gaucha bahawa jumlah sebenar mangsa masih tidak jelas dan mungkin ada beratus-ratus mangsa yang cedera.

Akhbar Diario de Santa Maria melaporkan, api mula marak pada pukul 2 pagi di kelab malam Kiss di bandar selatan Brazil itu dekat sempadan Argentina dan Uruguay.

Seorang pengawal keselamatan kelab malam itu, Rodrigo Moura dilaporkan berkata, pusat hiburan tersebut mencapai kapasiti maksimum antara 1,000 dan 2,000 pengunjung dan mereka menolak dan merempuh untuk menyelamatkan diri.

Seorang pengunjung kelab malam itu, Ezekiel Corte Real, 23, dipetik sebagai berkata, dia membantu orang ramai menyelamatkan diri.

Bandar Santa Maria merupakan sebuah bandar universiti utama dengan jumlah penduduk sekitar suku juta orang. - Agensi

No comments:

Post a Comment