*ANGGOTA Rela mengawal laluan di Puncak Setiawangsa, Kuala Lumpur, semalam, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Seramai 283 penghuni diarahkan untuk berpindah selepas cerun bukit kawasan itu runtuh, Jumaat lalu. - BERNAMA |
KUALA LUMPUR, SELASA, 01 Januari, 2013: Runtuhan yang lebih teruk boleh berlaku sekiranya hujan lebat berterusan melanda kawasan Puncak Setiawangsa yang runtuh Jumaat lepas, menurut Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) hari ini.
Ketua Pegawai Operasi Ikram, Mohd. Taufik Haron berkata, tiada sebarang penggelosoran tanah yang teruk dikesan sejak Sabtu lepas walaupun hujan lebat turun sekejap-sekejap.
"Hujan sekejap-sekejap menyebabkan struktur tanah tidak stabil dan kita risau jika hujan lebat berterusan runtuhan akan berlaku," katanya kepada pemberita semasa meninjau kerja-kerja menstabilkan cerun dengan diiringi Jurutera Geo-Teknikal Ikram, Ir. Abd. Razif Abd. Malek.
Beliau berkata, pemantauan mendapati pergerakan tanah pada hari pertama cukup aktif namun gelongsoran tanah mula menurun pada hari kedua dan kekal sehingga ke hari ini.
"Agak sukar menjangka impak yang akan berlaku. Kita bersyukur tidak berlaku hujan lebat berterusan sejak kejadian, sekali gus membantu menstabilkan struktur cerun yang runtuh," katanya.
Menurut Taufik, apa yang lebih penting sekarang adalah untuk memastikan keselamatan penduduk yang berada di bawah cerun bukit terbabit selepas mereka pulang ke rumah masing-masing.
"Kita akan melakukan kerja menstabilkan cerun bagi meminimumkan risiko berlaku runtuhan susulan pada masa akan datang termasuk merobohkan sebuah banglo yang terjejas teruk," katanya.
Beliau berkata, tindakan untuk merobohkan dua lagi banglo berhampiran akan diputuskan jika zon penampan diperlukan untuk keselamatan 27 banglo lain di atas puncak bukit tersebut.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 10 malam itu, benteng konkrit yang dibina di lereng bukit setinggi 50 hingga 60 meter runtuh mengakibatkan beberapa kediaman termasuk milik orang kenamaan di kawasan Puncak Setiawangsa terjejas. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment