My Add

Sunday 6 January 2013

Seni pertahankan diri mampu lahirkan rakyat setia

 *MUHYIDDIN Yassin menerima watikah ikrar pendekar daripada Omardin Mauju sambil diperhatikan Zambry Abd. Kadir (dua dari kanan), Rais Yatim (dua dari kiri) dan Ahmad Maslan (kanan) pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Kebangsaan Majlis Pendekar Malaysia kali pertama di Behrang, Perak, semalam.

BEHRANG, SABTU, 05 Januari, 2013: Seni mempertahankan diri bukan sahaja berupaya menjadi benteng utama untuk mempertahankan diri dan tanah air, malahan mampu melahirkan rakyat yang setia kepada negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana nilai-nilai murni serta sifat jati diri, ketahanan dalaman, disiplin dan sahsiah mulia yang diajar kepada setiap ahli seni mempertahankan diri tersebut dapat membentuk keperibadian masyarakat mulia.

Menurut Muhyiddin, perkara itu juga adalah elemen penting yang perlu ada pada rakyat dalam usaha menjayakan proses transformasi negara iaitu menjadi sebuah negara maju dengan acuan sendiri pada tahun 2020.

''Sebagai sebuah negara yang menuju ambang negara maju, kita perlu terus pertahankan dan menyemarakkan warisan kebudayaan negara kerana itu merupakan roh sesebuah negara yang bertamadun.

''Kita tidak mahu menjadi sebuah negara maju yang ketandusan warisan budaya kerana tidak menggambarkan ciri sebuah negara maju sebenar. Negara maju sebenar adalah negara yang menggalakkan perkembangan warisan seni dan budaya dan meletakkannya di tempat yang mulia," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Kebangsaan Pertama Majlis Pendekar Malaysia (MPM) di Politeknik Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Presiden MPM, Tan Sri Omardin Mauju; Penasihat Kehormat MPM, Datuk Ahmad Maslan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Oleh itu, Muhyiddin berkata, usaha yang dilakukan oleh MPM dengan menyatukan 51 seni mempertahankan diri dalam satu bumbung dan keanggotaan dua juta orang adalah sesuatu yang amat tepat pada masanya dan wajar dicontohi pertubuhan lain di negara ini - UTUSAN

No comments:

Post a Comment