My Add

Monday 7 January 2013

Sikap membisu Karpal dikecam

KUALA LUMPUR, AHAD, 06 Januari, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh dikecam kerana berterusan membisu seribu bahasa berikutan desakan menjadi saksi utama kes saman fitnah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Dewan Negara, Senator Datuk S. Nallakaruppan.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kassim berkata, pada Oktober 1997 di Parlimen, Karpal menjadi seorang 'hero' apabila menyatakan beliau mempunyai bukti kukuh mengenai pembabitan Anwar, ketika itu Timbalan Perdana Menteri dengan kegiatan liwat.

Bagaimanapun hari ini katanya, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu hanya diam seribu bahasa walaupun didesak pelbagai pihak untuk menjadi saksi utama bersama isteri Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsidar Taharin berhubung kes saman fitnah itu.

"Karpal boleh diibaratkan seperti 'tikus tercekik makan capati' akibat desakan itu, sedangkan beliau sendiri menjadi 'hero' pada Oktober 1997 mendakwa mempunyai pelbagai bukti kukuh pembabitan Anwar dalam kegiatan liwat.

"Pada masa itu, Karpal kutuk Anwar habis-habisan dan menuntutnya meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Hari ini, Karpal mengamalkan sikap lidah bercabang dan macam sesumpah kerana mahu Anwar jadi calon Perdana Menteri pula jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas desakan pelbagai pihak supaya Karpal turut tampil menjadi saksi utama bersama Shamsidar dalam kes saman fitnah Anwar terhadap Nallakaruppan berhubung dakwaan Penasihat PKR itu seorang biseksual.

Sebelum ini, seorang lagi Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor mendedahkan, berdasarkan Pernyataan Rasmi Parlimen yang dikeluarkan pada 18 Disember 1997, jelas menunjukkan Karpal berkata, beliau mempunyai bukti penglibatan Anwar dalam kegiatan tidak bermoral itu dan boleh mengemukakan saksi bagi membuktikan keseriusan tuduhan itu.

Mengulas lanjut, Ruslan berkata, sekiranya beliau merupakan ahli keluarga Karpal, sudah tentu beliau merasa malu dengan tindakan Karpal itu.

"Jika saya adalah Gobind Singh Deo (anak Karpal), maka pastilah saya dan seluruh kaum keluarga saya akan merasa amat malu disebabkan mempunyai seorang bapa yang hipokrit, tiada prinsip dalam hidup dan tahap maruah yang amat rendah apabila mengambil sikap tersebut terhadap Anwar," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment