My Add

Monday 7 January 2013

Slogan perubahan pembangkang jejaskan keamanan

KUALA LUMPUR, AHAD, 06 Januari, 2013: Slogan 'perubahan' yang dijanjikan oleh pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang tidak semestinya membawa kebaikan, malah mungkin mengundang keburukan kepada negara.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, rakyat perlu bijak menilai kesan daripada perubahan drastik yang dilakukan kerana khuatir bakal menjejaskan keamanan dinikmati ketika ini.

Sambil mengambil contoh negara-negara di Asia Barat seperti Mesir dan Syria, beliau berkata, perubahan yang cuba ditampilkan oleh sesetengah rakyat di negara itu telah menyebabkan negara mereka kucar-kacir.

"Perubahan perlu tetapi haruslah dalam bentuk acuan negara kita sendiri. Perubahan ini telah pun dilaksanakan oleh kerajaan menerusi pelbagai program transformasi meliputi politik, ekonomi dan sebagainya berdasarkan tuntutan semasa.

"Jangan kita terpedaya dengan slogan perubahan yang dilontarkan oleh pihak di sebelah sana. Kita tidak mahu ada campur tangan asing yang menjadikan beberapa pemimpin di sebelah sana tali barut mereka meresap masuk dalam pentadbiran negara, kelak negara boleh kucar-kacir seperti yang berlaku di Asia Barat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas ingatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berhati-hati dengan slogan 'perubahan' yang dijanjikan pembangkang menjelang pilihan raya umum akan datang.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula memberitahu, dalam konteks golongan belia, perubahan adalah penting tetapi perlu berlandaskan hala tuju negara.

Sambil mengingatkan golongan belia supaya tidak terburu-buru membuat keputusan, beliau berkata, keghairahan untuk mengubah sesuatu yang telah membawa banyak kebaikan kepada negara dikhuatiri mengundang pelbagai masalah lain.

"Kita jangan terlalu ghairah dan cepat melatah mahukan perubahan tanpa memikirkan kesan langsung ekoran tindakan itu.

"Kita jangan terikut-ikut dengan pihak yang satu lagi. Dalam belanjawan mereka, jika kita teliti, tiada pun perancangan untuk pembangunan belia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment