My Add

Sunday 27 January 2013

Syarat pengundi luar negara munasabah - SPR

KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Januari, 2013: Syarat kelayakan pengundi luar negara yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), antaranya mesti pernah kembali ke tanah air dalam tempoh lima tahun terakhir dan tinggal tidak kurang 30 hari, adalah munasabah.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) berkata, syarat itu cukup ringan dan sesuai kerana negara-negara Komanwel seperti Australia dan Kanada turut menetapkan syarat sama manakala di Singapura menetapkan syarat tiga bulan.

"Tiga puluh hari dalam tempoh lima tahun, bukan 30 hari sekali gus. Jadi, perkara ini adalah logik. Takkan lah rakyat Malaysia yang duduk di luar negara lupa langsung negara, tetapi bila tiba masa hendak mengundi, mereka hendak mengundi.

"Mengundi ini bukan saja hak tetapi juga tanggungjawab kepada negara. SPR turut melihat satu sudut menampakkan kecintaan kepada negara dengan mempunyai pertalian dengan tanah air," katanya kepada Bernama selepas ditemu bual dalam rancangan "Selamat Pagi Malaysia" terbitan RTM di Wisma TV, Angkasapuri di sini hari ini.

Wan Ahmad turut menjelaskan syarat penetapan tempoh itu telah dikemukakan di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya (PSC) dan telah dipersetujui.

Bagaimanapun beliau berkata, penetapan tempoh lima tahun dan tinggal tidak kurang 30 hari itu ditetapkan oleh SPR di bawah peruntukan undang-undang dan peraturan pilihan raya.

"Sebagai sebuah badan di bawah perlembagaan, SPR ada kuasa untuk tentukan syarat dan tatacara tertentu. Kita buat ini untuk kebaikan negara untuk pastikan rakyat ada bukti cintakan negara dan ada hubungan dengan tanah air," katanya membidas tindakan segelintir pihak mempertikaikan syarat itu dan mendakwa ia tidak dibincangkan di peringkat PSC. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment