My Add

Wednesday 23 January 2013

Tanah: PBTM tagih janji Kerajaan Pas Kelantan

KUALA LUMPUR, RABU, 23 Januari, 2013: Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Kelantan menuntut kerajaan Kelantan pimpinan Pas menunaikan janji untuk memberi tanah kepada bekas tentera.

Yang Dipertua persatuan itu, Datuk Mohammad Abdul Ghani (gambar) berkata, janji yang berlarutan hampir setahun lalu menyebabkan sejumlah besar bekas tentera di kalangan 14,000 anggota persatuan itu yang berasal dari Kelantan terus menderita kerana masih belum memiliki rumah sendiri.

Pada April 2012, mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan meluluskan pemberian tanah 0.8 hektar kepada setiap bekas tentera yang berasal dari Kelantan dengan sebuah jawatankuasa khas dibentuk bagi menentukan mereka layak menerima tanah sama ada untuk tapak rumah atau pertanian.

Keputusan itu dibuat kerajaan negeri bagi menghargai tugas mereka selama ini menjaga keamanan negara.

“Ia sepatutnya tidak berlaku kalau sudah berjanji. Perkara ini tidak akan berlaku jika kerajaan negeri dipimpin Barisan Nasional (BN) yang pastinya akan menunaikan janji itu.

“Kami berharap semua kerajaan negeri beri tanah kepada bekas tentera, kerana ada negeri seperti Perak, Pahang dan Negeri Sembilan sudah berbuat demikian," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas mengenai segelintir bekas tentera yang dikatakan menyokong pembangkang, Mohammad berkata, tindakan sedemikian mungkin dilakukan kerana didapati bersalah semasa dalam perkhidmatan atau merasa dipinggirkan.

“Seharusnya mereka ingat bahawa kemuncak kebajikan untuk bekas tentera adalah di zaman ini. Kerajaan telah memberi penghargaan tinggi kepada bekas tentera menerusi pelbagai insentif dan bantuan.

“Jangan tengok keburukan dan kelemahan kerajaan. Tengok apa yang kita dapat, bersyukur dan teruskan usaha dalam apa juga bidang supaya negara mencapai kemajuan menjelang tahun 2020," katanya.

Sambil menyifatkan golongan tersebut sebagai “sangat kecil", beliau menasihatkan 300,000 bekas tentera supaya terus menyokong kerajaan dan jangan mudah terpedaya dengan janji pembangkang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment