My Add

Monday 7 January 2013

Tembakan terbaharu di Aurora

*PASUKAN polis menjalankan siasatan di luar kompleks apartmen berikutan kejadian tembakan di pekan Aurora, Colorado yang mengorbankan empat orang termasuk penyerangnya, kelmarin. - REUTERS

LOS ANGELES, AHAD, 06 Januari, 2013: Empat maut dalam kejadian tembakan terbaharu di bandar Aurora, Colorado, semalam, lokasi sama kejadian tembakan rambang di sebuah panggung wayang yang berlaku pada tahun lalu.

Dalam kejadian di sebuah kediaman itu, penyerang bersenjata menembak mati tiga orang, sebelum mati ditembak polis yang tiba di tempat kejadian.

Polis Aurora dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyedari kejadian itu selepas seorang wanita berjaya melarikan diri dari dalam rumah berkenaan dan membunyikan penggera.

“Apabila polis tiba, kami memberi arahan kepada penyerang itu beberapa kali melalui telefon di kediaman itu agar dia keluar dari rumah dan menyerah diri. Namun dia mengendahkannya," kata polis.

Menurut polis, lelaki itu bertindak ganas dan enggan bekerjasama menyebabkan polis terpaksa merempuh masuk ke dalam kediaman itu menggunakan van polis.

“Ketika kenderaan itu berjaya masuk, penyerang melepaskan tembakan beberapa kali, namun tidak mengenai anggota polis. Sejam selepas itu, polis melepaskan gas dan sekali lagi memberi amaran kepada suspek untuk menyerah diri," kata kenyataan itu.

Sebelum pukul 9 pagi kata polis, suspek berdiri pada tingkap di kediaman itu dan cuba menembak polis, menyebabkan polis melepaskan tembakan tepat ke arah suspek," tambah kenyataan itu.

Sehingga kini identiti mangsa yang terbunuh masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan.

Julai lalu, bandar Aurora menjadi tumpuan dunia selepas seorang penyerang melepaskan tembakan rambang di dalam sebuah panggung wayang ketika filem Batman, The Dark Knight Rises ditayangkan, menyebabkan 12 orang terbunuh dan 58 yang lain cedera. - AFP

No comments:

Post a Comment