My Add

Tuesday 1 January 2013

Tiga beranak maut dalam nahas babitkan dua kereta

KUALA LIPIS, ISNIN, 31 Disember, 2012: Tiga beranak termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 17 Jalan Lipis-Benta, berhampiran Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, mangsa ialah pemandu kereta Proton Gen2 itu, Mohamed Abdul Hadi Sattar, 30; isterinya, Najihah Ahmad Kamal, 31; dan anak mereka, Mohamad Ammar Haziq.

Pemandu sebuah lagi kereta jenis Proton Perdana yang juga seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Kuala Lumpur dikenali sebagai Mohamad Ridzuan patah kedua-dua kaki dan tangan kanan selain cedera di bahagian muka.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, siasatan awal mendapati anggota polis terbabit yang dalam perjalanan ke Gua Musang dipercayai memasuki laluan bertentangan akibat permukaan jalan licin.

“Kereta itu lalu bertembung dengan kenderaan dinaiki tiga beranak berkenaan yang dipercayai dalam perjalanan ke kampung Mohamed Abdul Hadi di Pulau Pinang sempena cuti tahun baru.

“Mohamed Abdul Hadi maut di tempat duduk pemandu, isterinya ketika dirawat di Hospital Kuala Lipis dan anak mereka pula semasa dalam perjalanan ke hospital sama. Anggota polis itu juga dirawat di hospital tersebut," katanya ketika dihubungi di sini.

Abdul Razak berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment