My Add

Sunday 27 January 2013

Tindakan pembangkang sensasikan bicara RCI tidak beretika

TAWAU, SABTU, 26 Januari, 2013: Tindakan sesetengah pihak terutama pembangkang yang sengaja mensensasikan perbicaraan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah yang berlangsung ketika ini, disifatkan sebagai satu perbuatan yang tidak beretika.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, semua pihak seharusnya menyambut baik dan membiarkan perbicaraan tersebut berjalan dengan sebaiknya mengikut prosedur serta proses soal siasat yang telah ditetapkan.

Katanya, tidak perlu ada pihak yang memandang perkara tersebut secara negatif, selain sama-sama mengharapkan dapat mencari jalan penyelesaian untuk menangani masalah PATI di Sabah.

Menurutnya, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menubuhkan RCI bagi menjalankan siasatan adalah satu tindakan berani serta ikhlas bagi menyelesaikan isu yang telah berlangsung sekian lama.

"Ini jelas membuktikan kerajaan sentiasa mendengar suara rakyat bagi menyelesaikan isu PATI yang telah berlangsung sekian lama di Sabah dan paling penting ialah keikhlasan Perdana Menteri mencari penyelesaian sebaiknya buat rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mustapha di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Ghapur Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.

Selepas majlis tersebut, Mohd. Shafie turut meluangkan masa menghadiri Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Pelajar sempena Penangguhan Mesyuarat Agung Majlis Guru Besar Daerah Semporna 2013.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, semua pihak seharusnya membiarkan RCI menjalankan tugas yang dipertanggungjawab dengan lancar dan bukan mensensasikan perkara yang disoal siasat.

Katanya, segala maklumat yang diperoleh daripada proses pembicaraan terbuka tersebut akan dirumuskan dan dikemukakan di Parlimen, sekali gus memberi pendedahan kepada semua pihak.

"Kerajaan ambil tanggungjawab ini bagi memastikan tidak ada kesulitan berlaku kepada generasi hadapan dan bukannya seperti pihak pembangkang yang hanya pandai mensensasikan isu sahaja," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment