My Add

Friday 11 January 2013

Tolak permohonan Peguam Diraja

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 10 Januari, 2013: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Peguam Diraja (QC), Edward Garnier untuk mewakili bekas pengarah urusan sebuah syarikat, Datuk See Teow Chuan dan 13 yang lain serta peguam mereka, Datuk V.K. Lingam dalam permohonan semakan dan tindakan menghina mahkamah.

Hakim Datuk Zaleha Yusof memutuskan demikian selepas mendapati Garnier gagal menunjukkan beliau mempunyai kepakaran istimewa dan pengalaman khusus yang tidak dimiliki oleh pengamal undang-undang di negara ini dalam mengendalikan permohonan semakan dan menghina mahkamah.

Garnier dalam notis usul pada 27 Disember tahun lalu, memohon diterima masuk dan didaftar rai sebagai peguam di negara ini mengikut Seksyen 18 Akta Profesion Guaman 1976 bagi tujuan tersebut.

Bekas Pengarah Urusan Kumpulan Kian Joo Can Factory Bhd. (KJCF), Datuk See Teow Chuan dan 13 yang lain bersama Lingam membuat permohonan semakan dan berdepan dengan tindakan menghina mahkamah ekoran dakwaan mereka bahawa Mahkamah Persekutuan memplagiat dalam penghakiman bertulisnya membabitkan satu keputusan kes saman sivil. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment