My Add

Monday 21 January 2013

Universiti perlu pelopori media sosial untuk pendidikan: Saifuddin

KUALA LUMPUR, ISNIN, 21 Januari, 2013: Universiti di negara ini perlu mempelopori media sosial untuk pendidikan penuntut mengikut kesesuaian peredaran zaman.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata media sosial bukan sahaja menjadi medium penghubung malah ia boleh menjadi medium pendidikan untuk penuntut dalam aktiviti pelajaran serta aktiviti kokurikulum mereka.

"Kita perlu berubah mengikut peredaran zaman, zaman kami dulu zaman mesin taip. Kini zaman pelajar adalah zaman komputer.

"Kemunculan kesedaran sosial bentuk baru di mana kerja-kerja sosial diberikan definisi baru seperti pendidikan mencintai negara atau patriotisme," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Persidangan Kebangsaan mengenai Urus Tadbir Hal Ehwal Pelajar (HEP) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) dan Taylor's University, di sini, hari ini.

Persidangan itu akan berlangsung selama tiga hari mulai 25 Februari di One World Hotel, Petaling Jaya yang akan menyentuh aspek kebolehpasaran graduan, pembudayaan keusahawanan dan kesukarelawan.

Terdahulu, Saifuddin melancarkan minggu ulang tahun penyelidikan fakulti perubatan UM ke-50 tahun, yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini.
Dalam ucapannya beliau meminta fakulti perubatan UM memainkan peranan utamanya mengenal pasti cabaran dan peluang untuk menggerakkan perubahan dalam masyarakat mengenai kesedaran kesihatan.

Dalam sidang media yang sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Prof Datuk Rohana Yusof menegaskan sekali lagi pihak universiti tidak pernah melarang pelajar menyertai perhimpunan aman.

"Pihak Universiti amat menghormati semangat Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan pihak kami hanya tidak menggalakkan pelajar disebabkan ia adalah minggu peperiksaan dan ia sama waktu dengan perhimpunan pada 12 Januari lalu," katanya sambil menasihatkan pelajar supaya lebih mengutamakan pencapaian akademik mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment