Banjir : Tiada wabak penyakit berjangkit dilaporkan di Pahang
KUANTAN, AHAD, 22 Disember, 2013: Jabatan Kesihatan negeri mengesahkan tiada sebarang wabak penyakit berjangkit berlaku semasa atau selepas fenomena banjir yang melanda beberapa daerah di Pahang baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan mingguan terutama untuk mengesan penyakit bawaan air seperti leptospirosis atau kencing tikus.
"Jika tidak berlaku bencana banjir sekali pun, pemantauan mingguan sentiasa diteruskan dan bilangan kes juga berbeza-beza di setiap daerah iaitu purata antara julat 0 hingga tujuh kes seminggu.
"Notifikasi kes leptospirosis dua minggu sebelum banjir ialah masing-masing tiga kes iaitu pada 17 hingga 23 November dan 24 hingga 30 November, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, dalam tempoh berlakunya banjir iaitu pada 1 hingga 14 Disember, sebanyak 10 kes didaftarkan.
Menurut Dr. Norhizan, bilangan kes yang didaftarkan pada kedua-dua minggu semasa dan selepas banjir masih dalam bilangan yang dijangkakan iaitu kejadian endemik leptospirosis dan bukan kejadian kes luar biasa. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment