My Add

Wednesday, 25 December 2013

Ikhwan diisytihar pengganas
 
KAHERAH, SELASA, 24 Disember, 2013: Pergerakan Ikhwanul Muslimin diisytihar sebagai pertubuhan pengganas, beberapa jam selepas sebuah kereta mengandungi bom diletupkan di sebuah ibu pejabat polis di Mansoura, utara Kaherah yang menyaksikan sekurang-kurangnya 14 orang maut.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri Mesir, Hazem al-Beblawi, lapor agensi berita rasmi, MENA hari ini.

MENA memetik jurucakap Hazem, Sherif Showky sebagai berkata, pergerakan tersebut telah dikategorikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Perdana Menteri Mesir.

Kejadian tersebut yang merupakan serangan bom terburuk sejak tentera menggulingkan bekas Presiden, Mohammed Mursi pada Julai lalu, berlaku beberapa minggu sebelum satu pungutan suara diadakan berhubung Perlembagaan baharu negara ini.

Sumber keselamatan memaklumkan, letupan itu sangat kuat dan menyebabkan sebahagian daripada bangunan terbabit runtuh.

"Kebanyakan mangsa merupakan anggota polis,'' kata Gabenor Daqahleya, Omar al-Shawatsi.

Jelas sumber itu, ketua pasukan keselamatan Daqahleya, Sami el-Mihi cedera dan dua pembantunya terbunuh dalam letupan tersebut.

"Impak letupan itu boleh dirasai sejauh kira-kira 20 kilometer dan memecahkan tingkap di bangunan-bangunan berdekatan,'' kata sumber itu.

Laman web agensi berita al-Jazeera melaporkan, kerajaan sementara Mesir menuduh Ikhwanul Muslimin mendalangi serangan tersebut.

Bagaimanapun, Ikhwanul Muslimin dalam satu kenyataan turut mengutuk serangan berkenaan.

Kerajaan sementara Mesir yang disokong tentera sering menuduh Ikhwanul Muslimin menaja dan melatih anggota militan yang melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan di Semenanjung Sinai. - AFP/AGENSI/UTUDAN 

No comments:

Post a Comment