My Add

Wednesday, 18 December 2013

Kastam patahkan cubaan seludup dadah RM1.42 juta

TELOK KEMANG, SELASA, 17 Disember, 2013: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan empat cubaan menyeludup dadah jenis syabu bernilai RM1.42 juta oleh tiga warga China dan seorang Nigeria menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, dalam kes pertama pada pukul 2.30 pagi Isnin lalu, seorang wanita warga China berusia dalam lingkungan 20-an telah ditahan selepas pemeriksaan menemukan dua kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM380,000 disorok di ruang khas di bahagian bawah bagasi menerusi penerbangan dari Hong Kong ke LCCT.

"Kira-kira setengah jam selepas itu, kita menahan seorang lagi wanita warga China sebelum merampas 2 kg dadah jenis sama bernilai RM380,000 disorok di dalam gelungan plastik yang diletakkan di dalam bagasi suspek. Suspek menaiki pesawat dari Macau ke LCCT," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengarah-pengarah Kastam Se-Malaysia kali ke-73 di Grand Lexis Hotel di sini hari ini.

Beliau seterusnya berkata, bagi kes ketiga, JKDM menahan seorang lagi warga China berusia dalam lingkungan 20-an selepas mendapati bagasi yang dibawa mengandungi dadah jenis sama seberat 2.728 kg di LCCT bernilai RM518,320.

"Bagi kes terakhir pula melibatkan seorang wanita Nigeria yang ditahan kerana menelan 68 ketulan syabu dan menyorokkan tiga lagi ketulan dadah sama di dalam seluar dalamnya di KLIA seberat 1.077 kilogram bernilai RM204,630 pada 29 November lalu.

"Kesemua suspek ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khazali menjelaskan, sebanyak 1.6 tan dadah bernilai RM116 juta berjaya dirampas oleh JKDM di beberapa lokasi di seluruh negara dari Januari hingga Ahad lepas.

Beliau memberitahu, jumlah tersebut melibatkan sebanyak 126 kes cubaan menyeludup yang berjaya dipatahkan hasil pemantauan berterusan agensi itu.

Katanya, jumlah tersebut meningkat berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan 117 kes rampasan dadah sebanyak 1.5 tan yang bernilai RM162 juta.

"Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur terus mencatatkan angka tertinggi dengan 65 kes melibatkan rampasan sebanyak 710.68 kilogram dadah bernilai RM46 juta," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment