![]() |
* ABDUL Rahim Jaffar (tengah) menunjukkan pistol automatik milik Mat Ruji dan gambar wajah penjenayah itu dalam sidang akhbar di Sepang, semalam. |
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaffar berkata, insiden berbalas tembak itu berlaku apabila pasukan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor yang sedang melakukan rondaan Ops Cantas tersempak dengan sebuah kereta Nissan Grand Livina berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, pihak polis kemudiannya menghampiri kenderaan tersebut dan mendapati seorang lelaki melarikan diri ke dalam semak berhampiran serta melepaskan tembakan ke arah polis ketika usaha untuk menjejaki suspek dilakukan.
"Polis kemudian melakukan tembakan balas dan selepas beberapa minit dalam kejadian tembak menembak itu, polis melakukan pemeriksaan di kawasan semak dan menemui mayat seorang lelaki dipercayai individu yang melarikan diri daripada kereta itu.
"Pemeriksaan ke atas mayat mendapati suspek dikenali sebagai Mat Ruji@Mat Ting War, 43, selain menemui sepucuk pistol automatik jenis Vzor CAL 7.65 tertera tulisan Made in Czechoslovakia beserta tiga butir peluru 7.65 milimeter," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, suspek berasal dari Sampang didapati aktif melakukan jenayah samun secara berkumpulan dalam lingkungan empat hingga enam orang sejak 2005 di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
"Ini berikutan cap cari suspek sebelum ini pernah dikesan membabitkan 27 kejadian samun dan pecah rumah sejak tempoh tersebut serta merupakan antara geng penjenayah warga asing paling dikehendaki.
"Rekod jenayah lampau suspek juga menunjukkan suspek pernah ditahan daripada tahun 2009 hingga 2011 kerana kes kesalahan sama," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kenderaan digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu, WTB 9983 kerana nombor pendaftaran asal adalah MBX 8185 yang dilaporkan hilang pada 2 Mei lalu.
"Apabila diperiksa polis menjumpai pemotong besi dan kuku kambing dalam bonet kereta tersebut," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment