My Add

Wednesday, 25 December 2013

MIDF laksana dana baharu

Oleh NUR HANANI AZMAN

 
KUALA LUMPUR, SELASA, 24 Disember, 2013: Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) akan melaksanakan dana baharu menjelang 2014 iaitu Dana Pelaksanaan Gaji Minima perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bertujuan membantu syarikat berkenaan yang terjejas akibat pelaksanaan gaji minima sejak 1 Julai 2013 lalu.

Dana itu telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi pembentangan Bajet 2014 baru-baru ini.

Ketua Bahagian Pembangunan Kewangan MIDF, Nik Izani Nik Muhammad (gambar) berkata, MIDF akan memperuntukkan RM100 juta bagi membantu syarikat PKS tempatan terlibat dengan menyalurkan pinjaman bagi pembelian mesin, peralatan dan modal kerja pada kadar tetap pinjaman sebanyak empat peratus setahun.

Katanya, dalam masa yang sama, MIDF sentiasa memperkemaskan proses penyaluran bantuan pinjaman kepada syarikat PKS bagi mendorong pembangunan PKS untuk lebih berdaya saing dan seiring dengan arus pembangunan semasa.

"Sebagai contoh, pihak MIDF telah meningkatkan tempoh bayaran pinjaman bagi pembiayaan bangunan kilang atau perniagaan sehingga 25 tahun bagi mengurangkan beban bayaran balik pinjaman oleh syarikat PKS bertujuan membantu mereka menguruskan keperluan kewangan operasi.

"Di samping itu, MIDF juga turut menawarkan pembiayaan pinjaman yang tinggi sehingga 100 peratus bagi pembiayaan modal kerja, manakala sehingga 90 peratus bagi pembiayaan bangunan kilang atau perniagaan, mesin dan peralatan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Bancian Ekonomi 2011, entiti perniagaan bertaraf PKS mewakili sebanyak 97.3 peratus daripada jumlah keseluruhan entiti perniagaan yang berdaftar di Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 95 peratus adalah di bawah sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Ujarnya, PKS juga dijangka akan menyumbang sekurang-kurangnya 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak sembilan peratus daripada tahap yang telah dicapai pada tahun 2010 iaitu 32 peratus.

"Oleh itu, MIDF akan terus memberi fokus dalam menawarkan pembiayaan pinjaman kepada syarikat PKS. Bantuan berterusan daripada kerajaan ini akan membantu syarikat PKS dalam mencapai tahap sumbangan kepada KDNK tersebut.

"Skim pinjaman yang ditawarkan ini juga akan dapat membantu syarikat PKS menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mampu untuk berdaya saing dan kompetitif di peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan MIDF pada 2014, Nik Izani berkata, MIDF akan memperkenalkan produk pembiayaan untuk syarikat vendor atau pembekal kepada syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menerusi pembiayaan berbentuk pemfaktoran.

"MIDF akan membiaya sehingga 80 peratus daripada invois jualan syarikat pembekal tersebut pada kadar faedah empat peratus setahun sehingga tempoh maksimum 150 hari bagi membantu syarikat pembekal tersebut mempunyai aliran tunai yang baik bagi menampung kos-kos operasi sementara menunggu bayaran daripada syarikat-syarikat GLC," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment