PUNB tawar penangguhan bayaran sehingga enam bulan
KUALA LUMPUR, JUMAAAT, 20 Disember, 2013: Usahawan mangsa banjir yang memperoleh pinjaman daripada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) ditawarkan untuk menangguh bayaran bulanan mereka sehingga enam bulan.
Tawaran penangguhan pembayaran pembiayaan PUNB ini akan dipertimbangkan mengikut kes bermula pada Januari 2014 kepada usahawan skim PROSPER Runcit, PROSPER Pemborong, PROSPER Usahawan Muda, dan Skim Perusahaan Kecil dan Serderhana (PKS).
Menurut Pengerusi PUNB, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, penangguhan tersebut bertujuan untuk meringankan bebanan dan mengurangkan kebimbangan para usahawan terhadap komitmen kewangan pada ketika mereka berada dalam keadaan yang sukar.
"Kami sangat bersimpati dengan mereka yang menjadi mangsa bencana banjir terutama mereka yang kehilangan punca pendapatan apabila kedai dan stok barangan perniagaan musnah sewaktu bencana banjir ," katanya.
Selain itu kata Ali, PUNB juga akan membantu usahawan dalam memproses tuntutan takaful terhadap kerugian yang dialami bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan secepat yang mungkin.
Jelasnya, dianggarkan lebih kurang 62 buah syarikat atau perniagaan telah dikesan terlibat dalam bencana banjir ini.
"Buat masa ini selain dari tawaran penangguhan pembayaran pembiayaan mereka, PUNB juga turut membantu usahawan dan keluarga mereka melalui sumbangan dan misi bantuan kebajikan,'' ujarnya.
Semua usahawan yang inginkan maklumat lanjut tentang penangguhan ini bolehlah menghubungi pusat khidmat pelanggan PUNB di talian 1-300-13-7862 atau mengunjungi pejabat Cawangan Pahang dan pejabat Wilayah Pantai Timur. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment