My Add

Sunday, 22 December 2013

Tiong Lai dipilih Presiden MCA 2013-2016

 * LIOW Tiong Lai (tengah) bersama Wee Ka Siong (dua dari kiri) meraikan kejayaan mereka selepas dipilih menjadi Presiden dan Timbalan Presiden MCA yang baharu dalam Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-60 di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, SABTU, 21 Disember, 2013: Seperti dijangka, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong berjaya merampas jawatan nombor satu parti bagi penggal 2013-2016 apabila menang dengan 1,186 undi dalam pemilihan parti itu yang berlangsung di sini hari ini.

Tiong Lai mengalahkan dua pesaing sengitnya, Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu yang memperoleh 1,000 undi manakala Datuk Seri Ong Tee Keat mendapat 160 undi sahaja.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Datuk Dr. Wee Ka Siong diisytiharkan sebagai pemenang dengan 1,408 undi, menewaskan pencabarnya, Datuk Donald Lim Siang Chai (927 undi).

Legasi kepemimpinan bekas Presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bersambung apabila anaknya, Datuk Chua Tee Yong dipilih sebagai salah seorang Naib Presiden dengan mendapat 1,343 undi.

Tiga lagi pemenang bagi jawatan Naib Presiden ialah Datin Paduka Chew Mei Fun, Dr. Hou Kok Chong dan Datuk Lee Chee Leong, masing-masing meraih 1,230; 1,475 dan 1,642 undi.

Keputusan diumumkan Speaker Pemilihan MCA, Yik Phooi Hong sejurus selepas proses pengiraan undi selesai pada pukul 6.30 petang ini.

Seramai 2,352 atau 98.66 peratus daripada 2,385 perwakilan MCA layak mengundi pada pemilihan jawatankuasa tertinggi kali ini untuk menentukan barisan kepemimpinan baharu MCA bagi penggal 2013-2016.

Tiong Lai ketika ditemui pemberita berikrar akan membangunkan kembali kegemilangan MCA yang semakin malap berikutan kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

"Walaupun selama ini saya telah dikritik dengan hebat, namun para perwakilan serta akar umbi telah membuktikan mereka memerlukan saya untuk menerajui MCA kali ini. Saya berjanji akan membawa perubahan dalam parti.

"Dengan adanya sokongan kuat semua anggota parti dan rakyat, saya sangat yakin kita akan menjadi sebuah parti yang kuat, relevan serta disegani pada masa akan datang. Saya menyeru kepada yang kalah untuk tidak berkecil hati sebaliknya bersama-sama menyumbang demi parti yang kita sayangi ini," katanya.

Tambah beliau, isu penyertaan MCA dalam Kabinet akan dibincangkan dengan barisan jawatankuasa kerja baharu dalam masa terdekat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment