My Add

Sunday, 22 December 2013

Ubah suai urusan ekonomi demi masa depan

KOTA BHARU, SAB TU, 21 Disember, 2013: Kerajaan terpaksa membuat pengubahsuaian dalam menguruskan ekonomi dan kewangan negara pada masa sekarang demi memastikan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pengubahsuaian tersebut perlu dilakukan secara beransur-ansur supaya rakyat tidak terasa bebannya.

Beliau berkata, oleh itu kerajaan terpaksa membuat keputusan yang tidak popular pada hari ini.

"Kerajaan memahami isu dan tekanan yang dihadapi oleh rakyat. Adalah tidak benar kerajaan tidak memikirkan mengenai rakyat, cuma dalam keadaan hari ini, kita perlu membuat beberapa keputusan yang tidak popular.

"Pilihan kita ialah sama ada hendak hidup senang hari ini atau menghadapi masalah besar di masa depan atau secara beransur-ansur kita mengambil tindakan untuk memastikan bahawa keadaan ekonomi kita dapat dipulihkan.

"Sebagai contoh, jika kerajaan mengambil tindakan populis pasti akan menggembirakan rakyat kerana mereka fikirkan mungkin dapat menikmati beberapa kemudahan secara percuma tetapi satu hari nanti anak cucu kita akan terpaksa membayar bebannya," katanya selepas merasmikan Hari Kecemerlangan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kelantan 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapa; Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Zakaria Jaafar dan Pengarah MITI Wilayah Kelantan, Azran Deraman.

Dalam majlis tersebut, Pengarah Urusan W.A.N.N Trading Corp Sdn. Bhd., Wan Omar Wan Yusoff menerima Anugerah Usahawan Jaya Negeri Kelantan 2013.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan berkata, kerajaan berusaha sedaya upaya untuk menangani masalah tersebut dengan sebaik mungkin.

"Apa pun kita lakukan, kita cuma boleh menunda masalah tetapi satu hari nanti kita terpaksa juga menghadapinya. Kita boleh tunda bayar hutang hari ini tetapi satu hari nanti kita kena bayar hutang untuk elak kesukaran pada masa depan," katanya.

Menurut beliau, rakyat perlu memahami masalah kewangan dan defisit yang dihadapi oleh kerajaan.

Tambahnya, agensi-agensi kerajaan perlu menjelaskan perkara itu agar rakyat memahaminya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment