My Add

Sunday, 22 December 2013

UniMAP rintis kerjasama dengan Ensicaen Perancis

CAEN, AHAD, 22 Disember, 2013: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini merintis kerjasama akademik dan penyelidikan dengan Institut Kejuruteraan Caen (Ensicaen) di sini.

Kerjasama itu akan turut membabitkan pertukaran pelajar dan staf bagi memperkasakan jambatan ilmu yang terjalin melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak.

Pada majlis menandatangani MoU itu, UniMAP diwakili Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin manakala Ensicaen oleh pengarahnya, Prof Dr Dominique Goutte.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP berangkat menyaksikan majlis menandatangani MoU yang berlangsung di kampus Ensicaen di sini.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Perancis Tan Sri Ismail Omar.

Kamarudin berkata kerjasama UniMAP dan Ensicaen akan meningkatkan jaringan kerjasamanya dengan institusi pengajian tinggi luar negara.

Ensicaen yang ditubuhkan pada 1976 dan terletak di tengah-tengah bandar Caen juga memberi tumpuan kepada kegiatan penyelidikan termasuk berkaitan mikroelektronik, teknologi dokumen, instrumentasi dan sensor.

Ensicaen yang kini mempunyai lebih 5,000 pelajar telah melahirkan ramai siswazah dan penyelidik yang mempunyai pasaran dalam dan luar negara. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment