My Add

Wednesday 28 March 2012

Wartawan mahkamah cemas kereta dilanggar penjenayah

KLANG, RABU, 28 Mac, 2012: Kalau selama ini Rita Jong, wartawan mahkamah sebuah akhbar berbahasa Inggeris, sering membuat liputan mengenai penjenayah yang dihadapkan ke mahkamah, namun semalam beliau berdepan saat mencemaskan apabila keretanya dilanggar seorang penjenayah yang mempunyai 20 rekod jenayah lampau.

Rita, 36, yang kini hamil lima bulan, dan suaminya, Kenny Teo, 35, seorang petugas di stesen televisyen swasta bagaimanapun bernasib baik kerana mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Semasa kejadian, saya dan suami dalam perjalanan pulang ke rumah. Syukur, kami selamat tetapi kereta mengalami kerosakan pada bahagian tepi pemandu," katanya.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata suspek yang ditahan dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah serta mempunyai 20 rekod jenayah lampau di sekitar Shah Alam dan Ampang.

Mohamad berkata, dalam kejadian jam 4.20 petang semalam, suspek yang menaiki Proton Waja warna kelabu, terserempak dengan kereta peronda MPV polis di Jalan Istana.

"Ketika bertembung dengan polis, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan dan ketika cuba ditahan, suspek bertindak memecut kenderaannya ke arah Jalan Tengku Kelana sebelum terbabas di Jalan Dato Hamzah.

"Kenderaan yang dipandu suspek terbabas dan melanggar kenderaan yang dinaiki pemberita berkenaan yang dipandu suaminya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad berkata, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan suspek menemui sebatang besi tajam yang hujungnya dibengkokkan, dipercayai peralatan pecah rumah dan beberapa kunci induk.

Beliau berkata, kenderaan yang dinaiki suspek juga dilaporkan sebagai kereta curi berdasarkan rekod di Bukit Jelutong dan pemeriksaan air kencing mendapati dia positif dadah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment