PUTRAJAYA, RABU, 28 Mac, 2012: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata Rang Undang-undang Pekerja Sosial yang digubal bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan sosial di negara ini dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.
Beliau berkata, kementerian masih meneruskan perbincangan dengan pihak yang berkepentingan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mendapatkan maklumat balas bagi menambah baik draf rang undang-undang itu.
Sesi perbincangan seterusnya akan dijalankan di zon utara, selatan dan pantai timur pada April sehingga Mei ini untuk mendapatkan draf akhir sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bicara Penggubalan Akta Pekerja Sosial di sini, hari ini.
Shahrizat berkata, senario masalah sosial yang semakin kompleks ketika ini menyebabkan negara memerlukan tenaga kerja profesional yang berpengetahuan dan kompeten dalam bidang itu yang mampu dicapai melalui penggubalan akta seperti itu.
Menerusi undang-undang berkenaan, Shahrizat berharap tugas sebagai pekerja sosial menjadi satu kerjaya yang menjamin masa depan sama seperti pekerjaan yang lain. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment