My Add

Wednesday 28 March 2012

SPRM siasat semua kes dakwaan rasuah

PETALING JAYA, ABU, 28 Mac, 2012: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberi jaminan semua kes membabitkan dakwaan rasuah akan disiasat, kata Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed. 

Beliau berkata, selagi kes itu dalam lingkungan Akta Anti Rasuah 2009, ia akan disiasat tanpa rasa takut dan memihak dan tanpa mengira siapa yang terbabit.

Katanya, siasatan tidak hanya terbatas kepada laporan rasmi yang dibuat tetapi suruhanjaya itu juga akan mengumpul dan menilai maklumat daripada saluran lain termasuk akhbar dan Internet bagi dakwaan rasuah.

"Kami akan siasat sebarang maklumat yang kami percaya bahawa kesalahan rasuah itu telah dilakukan. Kita mengalu-alukan sebarang aduan mengenai rasuah. 

"Selain daripada rasuah, saya harap mereka akan merujuk kepada pihak berkuasa yang betul," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu mesyuarat jawatankuasa harian diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdull juga akan meneliti dan membincangkan sebarang dakwaan yang dibangkitkan mengenai rasuah melalui saluran lain. 

"Kita akan buat penilaian. Kalau benda itu wajar, mempunyai keterangan dan fakta yang cukup, kita akan tengok," katanya.

Sebelum itu, Abu Kassim menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) yang bertujuan bagi meningkatkan integriti dan budaya korporat syarikat yang bebas daripada rasuah. 

Majlis itu disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. 

Hadir sama, Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam. 

MoU itu antara lain akan memberi kuasa kepada SPRM untuk menyaring pegawai-pegawai kanan dan calon bagi menjawat kedudukan kanan dalam Prasarana atas sebarang elemen rasuah. 

Ia juga akan membenarkan seorang pegawai SPRM untuk dipinjamkan kepada Prasarana sebagai ketua pegawai integriti (CIO) di mana dia akan bekerja dengan pengurusan bagi memantau dan merancang inisiatif yang boleh diambil bagi membendung gejala rasuah. 

Abu Kassim berkata, selain Prasarana, beberapa syarikat lain seperti Telekom dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga telah mencapai persetujuan dengan SPRM bagi menempatkan seorang CIO dalam syarikat mereka. 

Dalam ucapannya, Abu Kassim berkata, SPRM juga melaksanakan program Ikrar Integriti Korporat (CIP) dengan sektor swasta dalam usaha mengekang gejala rasuah. 

Katanya, setakat ini, 71 syarikat swasta telah menandatangani CIP. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment