KEPALA BATAS, RABU, 28 Mac, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mahu pemimpin dan ahli UMNO berpegang kepada prinsip asas perjuangan parti bagi mewujudkan keghairahan untuk berjuang mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara.
Abdullah berkata, prinsip itu penting kerana kelangsungan daripada perjuangan adalah sebuah kejayaan yang sangat bererti untuk dikongsi bersama rakyat.
"Semakin lama perjuangan itu bertambah berat, jadi ia memerlukan kegigihan usaha, dan keghairahan perjuangan setiap pemimpin dan ahli parti sangat penting untuk meningkatkan kemajuan bangsa.
"Walaupun keghairahan berjuang itu menyebabkan ada ketikanya UMNO dianggap sombong, sebenarnya bukan sombong tetapi kesungguhan merelakan diri kita untuk memajukan bangsa dan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persatuan Bekas Ahli KEMAS Malaysia Pulau Pinang di sini, hari ini.
Beliau berkata, perjuangan yang diusahakan selama ini adalah untuk terus mencapai kejayaan dan memberi peluang kepada rakyat menikmati keselesaan dan keharmonian hidup.
"Perjuangan yang dilakukan itu bukanlah untuk mencari kekayaan diri sendiri sebaliknya mengabdikan diri untuk rakyat, dan teruskan berkhidmat selagi ada usia, kerana berbakti itu juga satu ibadah," katanya.
Katanya, dengan penambahan nilai terhadap perjuangan dan usaha yang berterusan ia secara langsung dapat membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul.
"Bukan satu alasan apabila negara maju kita enggan meneruskan usaha, sebaliknya mesti buktikan kesungguhan untuk menambah nilai terhadap kemajuan itu," katanya.
Pada majlis itu, 255 orang bekas ahli KEMAS menerima baucer wang tunai bernilai RM3,000 setiap seorang, sebagai penghargaan kepada perkhidmatan yang diberikan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment