My Add

Wednesday 13 June 2012

24 termasuk 12 polis cedera ketika BERSIH 3.0

KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Jun, 2012: Seramai 24 orang, termasuk 12 anggota polis yang bertugas, dilapor cedera.ketika perhimpunan BERSIH 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, berkata seramai 512 individu yang terbabit dalam perhimpunan itu ditahan pada hari kejadian.
"Semuanya sudah dibebaskan dengan ikat jamin polis selepas rakaman percakapan mereka dibuat.

"Selepas itu, tujuh penunjuk perasaan dan dua penjawat awam yang juga anggota polis bertugas sudah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan untuk lebih 30 Ahli Parlimen yang mengutarakan soalan hampir sama berkaitan perhimpunan itu.

Hishammuddin berkata, setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 165 laporan mengenai perhimpunan itu dan semua laporan berkenaan disiasat dengan teliti sebelum dikemuka kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut. 

Beliau berkata, kerajaan juga sudah mengambil tindakan sivil dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM122,000 terhadap penganjur perhimpunan, Datuk S Ambiga dan sembilan lagi anggota jawatankuasa penganjur yang lain kerana gagal mengawal perhimpunan hingga mengakibatkan keadaan menjadi huru-hara. 
"Kos ganti rugi berjumlah RM122,000 adalah untuk kos pembaikan kenderaan polis, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah," katanya. 

Mengenai tindakan terhadap Ambiga dan sembilan yang lain sebagai penganjur perhimpunan itu, beliau berkata pihak PDRM sudah mengemukakan laporan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara tetapi setakat ini belum menerima maklum balas.

Hishammuddin berkata, PDRM sudah menggerakkan sejumlah 9,274 pegawai dan anggota untuk penugasan keselamatan di sekitar Lembah Klang pada perhimpunan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment