My Add

Tuesday 26 June 2012

662,939 pertubuhan peniaga jana RM707.5b

PUTRAJAYA, ISNIN, 25 Jun, 2012: Laporan Banci Ekonomi 2011 mendapati sebanyak 662,939 pertubuhan perniagaan yang beroperasi di negara ini telah menjana nilai tambah iaitu jumlah keluaran barangan dan perkhidmatan sebanyak RM707.5 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, daripada jumlah itu sebanyak 591,137 pertubuhan perniagaan atau 89.2 peratus mewakili sektor perkhidmatan.

Katanya, sektor perkhidmatan itu sahaja menyumbang RM371.6 bilion atau 52.5 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai tambah.

"Selain itu, sebanyak 39,669 atau enam peratus pertubuhan terlibat dalam aktiviti pembuatan, 22,140 atau 3.3 peratus dalam pembinaan, 8,829 atau 1.3 peratus dalam pertanian dan 418 atau 0.06 peratus dalam perlombongan dan kuari.

"Pada masa sama, sektor pembuatan serta perlombongan dan kuari menjana nilai ditambah masing-masing sebanyak RM170.7 bilion dan RM88.7 bilion," katanya pada sidang akhbar Laporan Banci Ekonomi di Jabatan Perangkaan, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Perangkawan, Dr. Abdul Rahman Hasan.

Banci yang dibuat lima tahun sekali itu bertujuan memberi input kepada perancangan pembangunan dan penggubalan dasar ekonomi negara.

Kali terakhir ia dibuat pada 2005 dan banci seterusnya akan dilakukan pada 2016. Ia dijalankan menerusi mel, 'soft copy' (salinan lembut) dan temu bual.

Laporan penerbitan banci ekonomi kali ini meliputi 11 penerbitan iaitu pertanian, pembuatan, makanan dan minuman, pengangkutan serta penyimpanan dan perniagaan.

Selain, kesihatan dan kerja sosial, pendidikan, penginapan, maklumat dan komunikasi, pembinaan serta perlombongan dan kuari.

Menurut Nor Mohamed, banci tersebut turut mendapati seramai tujuh juta pekerja berkhidmat dalam sektor perkhidmatan iaitu 52.9 peratus diikuti pembuatan 26 peratus dan pembinaan 14 peratus.

Katanya, daripada keseluruhan pertubuhan perniagaan pula, sebanyak 127,422 atau 19.2 peratus dimiliki oleh kaum wanita.

"Golongan wanita paling banyak terlibat dalam sektor perkhidmatan iaitu 91.5 peratus diikuti pembuatan dan pembinaan iaitu masing-masing sebanyak 6.9 peratus dan 1.1 peratus," katanya.

Dalam pada itu, katanya, perkhidmatan maklumat dan komunikasi mencatatkan purata gaji dan upah bulanan paling tinggi iaitu RM4,068 manakala, sektor terendah ialah perkhidmatan makanan dan minuman iaitu purata RM896 sebulan.

Sementara itu, perdagangan edaran merupakan pertubuhan paling tinggi berkembang mengikut sub sektor manakala, mengikut negeri, Selangor mencatatkan pertumbuhan paling tinggi berbanding negeri lain iaitu 19.2 peratus dan terendah ialah Putrajaya 0.1 peratus. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment