My Add

Monday 4 June 2012

Cyberjaya Lembah Silikon negara

CYBERJAYA, AHAD, 03 Jun, 2012: Syarikat pemaju utama Cyberjaya, Setia Haruman Sdn. Bhd., yakin Cyberjaya dapat ditransformasikan sepenuhnya menjadi Lembah Silikon Malaysia menjelang 2020. 

Pengerusinya, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar berkata, pada masa itu Kuala Lumpur dan Cyberjaya akan menjadi bandar raya pintar tanpa sempadan dengan syarikat-syarikat berimpak tinggi menyediakan pekerjaan yang bernilai tinggi.

"Kita telah sedia, walaupun agak lewat, tetapi tepat pada masanya.

Lambat-laun, keseluruhan kawasan ini akan menjadi Koridor Raya Multimedia," kata beliau dalam taklimat media di sini.

Dengan hasrat menjadi bandar raya di masa akan datang, Cyberjaya telah pun muncul sebagai peneraju untuk pusat-pusat multimedia di Malaysia, mampu menarik multimedia dan syarikat-syarikat teknologi maklumat dan komunikasi bertaraf dunia serta para profesional dan pelajar.

Mustapha berkata, pada masa ini, gelombang baru pelaburan kini telah diambil oleh 16 syarikat yang akan menyuntik kira-kira RM20 bilion sehingga 2016.

Daripada RM20 bilion itu, Setia Haruman akan menyumbang RM2.5 bilion dan menikmati margin antara 20 peratus dan 30 peratus daripada pelaburannya.

Mustapha berkata, pembangunan di Cyberjaya juga telah mendapat momentum dengan harga ruang pejabat melonjak 30 peratus sejak dua tahun lepas.

Sebelum ini, beliau berkata, syarikat perlu memberikan subsidi kadar sewa pejabat.

"Tetapi kini, ia telah meningkat kepada RM5 setiap kaki persegi, daripada RM1 sebelumnya. Ini menunjukkan adanya pertumbuhan.

"Saya menjangkakan menjelang 2016, kadar sewaan akan menjadi lebih baik daripada RM5, itulah yang saya unjurkan," kata beliau.

Selain daripada potensinya yang tinggi, Mustapha berkata, pasaran hartanah di Cyberjaya akan stabil kerana terdapat hampir 20,000 pelajar tinggal di kawasan itu.

"Malah, sekiranya terdapat perubahan dalam situasi pasaran dalam satu-satu tempoh, Cyberjaya masih boleh bertahan," kata beliau.

Setia Haruman telah dipertanggungjawabkan dengan peranan untuk merancang, mereka dan menyediakan prasarana utama untuk Zon Utama Cyberjaya.

Kawasan itu meliputi 2,851 hektar tanah pegangan bebas terdiri daripada empat zon utama yang dikenali sebagai enterpris (perusahaan), komersial, institusi dan kediaman.

Setiap zon dilengkapi sepenuhnya dengan perkhidmatan rangkaian pintar dan perkhidmatan jalur lebar interaktif.

Mustapha berkata, Setia Haruman masih lagi mempunyai 400 hektar simpanan tanah yang tinggal untuk dimajukan di masa akan datang.

"Tugas saya sebagai pemaju ialah untuk menyediakan kemudahan agar ia menjadi pilihan utama para pelabur. Masa itu penting untuk segala-galanya," kata Mustapha. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment